Wednesday, February 1, 2012

Bangkok arah siasat kes renjer tembak penduduk



BANGKOK 31 Jan. - Kerajaan Thailand mengarahkan siasatan dijalankan mengenai insiden empat penduduk awam Islam ditembak mati oleh pasukan Renjer di selatan negara ini, selepas pembunuhan itu mencetuskan kemarahan penduduk tempatan.

Seorang lelaki tua dan seorang remaja berusia 18 tahun antara mangsa yang terbunuh apabila renjer tentera Thai melepaskan tembakan bertalu-talu ke arah sebuah trak pikap di Pattani pada malam semalam.

Renjer itu mendakwa mereka mendengar satu bunyi tembakan dan menyangka mereka diserang, tetapi mangsa yang selamat berkata, trak itu membawa sekumpulan penduduk yang hendak pulang selepas menghadiri pengebumian seorang ahli keluarga.

"Hari ini kami tidak yakin kami betul-betul berada di pihak yang benar kerana keempat-empat mangsa bukanlah penyokong militan," kata Timbalan Perdana Menteri, Yutthasak Sasiprapa yang bertanggungjawab terhadap keselamatan negara ini.

Katanya, siasatan itu akan menentukan sama ada prosedur yang betul telah dipatuhi oleh renjer terlibat.

Jika mangsa didapati ditembak akibat kesilapan pasukan renjer, kerajaan akan memohon maaf dan membayar ganti rugi, ujar Yutthasak.

Beliau berkata, ada kemungkinan penumpang di dalam trak pikap itu telah digunakan sebagai perisai manusia oleh seorang pemberontak yang diburu oleh pihak berkuasa.

Dua senjata api ditemui di dalam trak tetapi pemandunya memberitahu polis, senjata itu bukan milik penumpang.

Dalam usaha untuk membendung kekacauan di selatan Thai, pihak berkuasa menempatkan ramai askar kerajaan yang dibantu oleh pasukan separa tentera, serta mengenakan perintah darurat yang menurut aktivis hak asasi manusia memberi kekebalan kepada tentera daripada tindakan undang-undang. - AFP

tusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment