Thursday, February 23, 2012

Facebook bagai pisau

SEORANG mahasiswa dalam jurusan teknologi maklumat mendapat idea untuk mewujudkan rangkaian jaringan perkongsian maklumat di kalangan penuntut Universiti Harvard berhubung silibus pelbagai mata pelajaran yang diajar.

Pada asalnya mahasiswa berkenaan, Mark Zuckenberg sekadar menjadikan idea itu sebagai projek akhir tahun pengajiannya. Namun, facebook atau fb akhirnya berkembang menjadi satu platform interaksi sosial yang membolehkan jutaan individu dari seluruh dunia berkomunikasi antara satu sama lain.


Sehingga awal 2012 bilangan pengguna fb seluruh dunia mencecah angka 845 juta, seramai 9.5 juta daripadanya adalah pemilik akaun dari Malaysia.

Jika diimbau kembali aplikasi komunikasi sosial sudah mengalami evolusinya tersendiri sejajar dengan peredaran zaman. Sekitar tahun 90-an dahulu laman sembang seperti MIRC dan Yahoo Messenger adalah dua contoh medium interaksi sosial yang popular.


Hari ini fb mengambil alih kedudukan sebagai medium interaksi sosial yang dominan. Lantaran, penggunaan fb banyak mempengaruhi gaya hidup individu masa kini, terutama generasi muda yang kebanyakannya lahir pada dekad 90-an atau lebih popular dikenali sebagai generasi Y.


Sepanjang waktu, pengguna Internet tidak lekang menyemak status terkini rakan fb atau mengemas kini laman fb milik sendiri.

Sesungguhnya fb mencetuskan fenomena bukan saja di Malaysia bahkan seluruh dunia. Keupayaannya mendapat tempat sebagai budaya popular di kalangan masyarakat global dalam tempoh singkat selepas diperkenalkan pada 2004 adalah menakjubkan.


fb benar-benar mewujudkan keadaan dunia tanpa sempadan dan berjaya menampilkan elemen globalisasi tanpa membezakan budaya, bangsa, warna kulit dan taraf hidup seseorang itu.

Sebagai contoh, menerusi interaksi dalam fb tiada sebarang protokol diperlukan antara seorang Perdana Menteri dengan rakyat jelata. Hal ini mendekatkan diri seorang pemimpin tertinggi negara dengan rakyatnya dan memudahkan orang ramai menyuarakan pandangan atau melontarkan buah fikiran yang boleh diambil kira oleh pihak kerajaan dalam merangka sesuatu dasar untuk kemajuan dan kemakmuran negara.


Bagaimanapun, sebagai aplikasi yang digunakan oleh jutaan manusia di seluruh dunia, penggunaan fb tidak terlepas daripada sisi negatif yang boleh menjejaskan hubungan dalam masyarakat itu sendiri.


Oleh yang demikian tidak hairanlah kebelakangan ini kes perceraian suami-isteri dan perbuatan fitnah memfitnah terhadap individu tertentu semakin berleluasa di dalam fb.


Sebagai contoh seorang kakitangan yang ditegur oleh majikannya akan terus membuat komen dalam fb rasa tidak puas hatinya selang beberapa minit selepas beredar daripada pejabat bos.


Kakitangan itu akan menggunakan kesempatan memasuki fb untuk melepaskan perasaannya hingga akan memuntahkan segala perkataan yang kurang sopan dan boleh menjatuhkan maruah seseorang itu.


Kenyataan yang dihamburkan dalam fb kemudian dapat dibaca oleh rakan sepejabat dan tidak mustahil ia akan tersebar ke telinga majikan kakitangan berkenaan.


Kakitangan tersebut berkemungkinan akan dikenakan surat tunjuk sebab atau berlaku ketegangan antara beliau dan majikannya. Setakat ini pengendali laman sosial fb belum lagi mewujudkan sebarang mekanisme yang boleh mencegah sebarang elemen negatif dalam komunikasi di fb.


Walaupun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang khusus bagi mendisiplinkan pengguna fb, namun ia tidak memadai andai pengguna fb itu sendiri tidak mempunyai kesedaran mengenai nilai-nilai etika dan budi bahasa semasa berinteraksi di laman sosial maya.


Seorang pengguna fb yang matang dan berhemah pasti akan memikirkan sebarang akibat yang akan timbul natijah daripada setiap patah perkataan tertulis atau gambar tersiar di fb miliknya.


Dalam hal ini marilah kita teladani satu daripada tujuh tabiat orang yang paling berkesan seperti diperkenalkan oleh pengasasnya, Stephen Covey iaitu fikirkan pengakhiran sesuatu tindakan yang bakal diambil sama ada positif atau negatif.


Tidak keterlaluan jika fb diibaratkan sebagai sebilah pisau. Sebilah pisau yang tajam boleh mendatangkan kebaikan atau keburukan bergantung kepada niat orang yang menggunakannya.


Demikianlah halnya dengan penggunaan fb, ia akan menjadi satu medium komunikasi yang sangat berguna apabila setiap maklumat sama ada bercorak umum atau peribadi disampaikan dengan penuh adab tanpa menyinggung mana-mana pihak.


Sebaliknya nilai fb sebagai satu bentuk teknologi sosial yang kontemporari akan hilang apabila menjadi gelanggang pihak tertentu untuk mencetuskan permusuhan atau ketegangan antara individu atau kaum.


Penulis ialah seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal (Kepujian), University Multimedia


myMetro | Facebook bagai pisau:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment