RIDUAN MOHD NOR

SHAH ALAM - Dewan Pemuda Pas meminta bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Hasan Ali berperanan sebagai ‘kuasa ketiga’ dan tidak mewakili sentimen mana-mana pihak yang berkepentingan jika beliau benar-benar mahu menegakkan "amar ma’ruf nahi mungkar."

Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, jika benar beliau mahu memperjuangkan Islam, Melayu dan Raja-raja dengan menubuhkan Jati, Hasan mestilah ikhlas tanpa mengira latar belakang sasaran.

Beliau berkata, jika tidak Hasan hanya dilihat sebagai ‘budak suruhan’ kepada pihak tertentu terutama kepada parti pemerintah, apabila hanya menjadikan Pakatan Rakyat (PR) dan pemimpinnya sebagai sasaran kecaman beliau.

“Apa yang menghairankan, beliau hanya menyerang pemimpin Pas dan Pakatan Rakyat sedangkan kemungkaran lebih besar ada pada kuasa pemimpin utama di negara ini.

“Kami kecewa kerana beliau hanya melihat kesalahan yang ada dalam Pas dan menuduh segelintir pemimpin Pas sebagai ‘parasit’ sedangkan beliau tidak boleh ‘bias’ kepada mana-mana pihak jika ikhlas dan jujur dalam memperjuangkan Islam serta bangsa Melayu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tambah Riduan, Dewan Pemuda Pas berpendapat Jati harus berdiri tegak atas platformnya sendiri dengan menjadi sebuah badan bukan kerajaan yang bebas dari kongkongan mana-mana parti politik tertentu.

Katanya, Hasan sebagai pengemudinya harus bertindak rasional dalam memperjuangkan Islam di negara ini dan tidak boleh memanjang sentimen isu pemecatannya kerana ia boleh dilihat sebagai agenda peribadi, bukan agenda umat Islam di negara ini.