Saturday, February 18, 2012

Ulama: Orang Islam tidak boleh hadiri ritual agama selain Islam


February 18, 2012

KUALA LUMPUR, 18 Feb – Ulama di negara ini bersependapat masyarakat Islam dilarang hadir di majlis keraian dan upacara keagamaan selain Islam kerana perkara itu akan menjurus kepada syirik dan menyekutukan Allah, kecuali sambutan tersebut berkaitan adat dan budaya masyarakat bukan Islam.

Namun begitu, berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), terdapat beberapa kriteria yang perlu dipatuhi bagi membolehkan masyarakat Islam menghadiri majlis tersebut.

Antaranya adalah majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam, tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak, perbuatan yang bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam di negara ini, dan tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Islam.

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria (gambar) yang dihubungi The Malaysian Insider berkata, masyarakat Islam dibolehkan untuk menghadiri majlis-majlis keraian yang berunsurkan adat dan budaya bangsa lain sebagai tanda menghormati sesama manusia.

“Kita sama-sama manusia, harus menghormati antara satu sama lain, tapi tidak boleh bertoleransi berhubung perkara yang melibatkan keagamaan.

“Namun begitu, sekiranya keraian itu melibatkan sambutan adat dan budaya seperti Pesta Menuai, Tahun Baru Cina, dan sebagainya, perkara itu dibolehkan,” katanya.

Tambahnya lagi, antara garis panduan hubungan Muslim dan bukan Muslim adalah wujudnya garis panduan dari aspek pemakanan, yang mana meliputi status Halal yang tidak boleh dikompromi.

“Perkara seperti itu tidak boleh dipertikaikan, berkenaan makanan Halal, dan sebagainya itu panduan yang harus dipatuhi.

Jelas beliau, isu itu sengaja dibangkitkan oleh golongan politik yang cuba menjatuhkan satu sama lain dengan menimbulkan isu keagamaan dalam politik.

“Masalahnya yang wujud sekarang adalah masing-masing cuba menjatuhkan satu sama lain, terutamanya politik. Ada persaingan politik, ungkit mengungkit, dan perkara itu akan menimbulkan masalah.

“Perkara berkaitan agama tidak boleh dicampuradukkan dengan politik,” tegasnya yang kesal dengan tindakan PAS menyambut Thaipusam di Sungai Siput, yang mana menurutnya adalah haram.

Sementara itu, bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin berkata, kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Batu Cave untuk sambutan Thaipusam adalah perkara yang dibolehkan kerana ia dibuat atas tuntutan tugas.

“Perdana menteri hadir atas tuntutan tugas, itu tidak menjadi masalah, begitu juga dengan anggota polis yang bertugas menjaga keselamatan ketika perayaan itu berlangsung.

“Beliau hanya hadir memberi ucapan dan tidak menyertai ritual keagamaan mereka, itu sebahagian daripada tugas perdana menteri memastikan keharmonian negara,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Tambah beliau, masyarakat Islam dilarang sama sekali mengiktiraf kewahyuan agama selain Islam, namun begitu, mereka harus menghormati kewujudan agama lain.

“Antara perkara yang dilarang adalah memakai pakaian khusus keagamaan seperti salib, pakaian paderi, dan memakai calit di anggota badan. Itu haram, tapi sekiranya mereka memakai kurta atau pakaian tradisi, perkara itu bukanlah satu kesalahan,” tegasnya.

“Saya percaya, kehadiran pemimpin negara ke majlis-majlis seperti itu sekadar tuntutan tugas dan beliau tidak berniat untuk menyertai ritual keagamaan mereka,” tambahnya lagi.

Menurut Asri, kekeliruan yang wujud berkemungkinan disebabkan berlakunya salah faham masyarakat Islam yang sensitif terhadap kehadiran pemimpin di majlis-majlis seperti itu.

“Antara langkah penyelesaiannya adalah penganjur seharusnya diberi panduan berkenaan perkara itu, pihak berkaitan protokol seharusnya dimaklumkan terlebih dahulu garis panduan untuk pemimpin beragama Islam menghadiri majlis-majlis keraian mereka,” katanya lagi.


Main - Bahasa - Ulama: Orang Islam tidak boleh hadiri ritual agama selain Islam @ Sat Feb 18 2012:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment