Cabaran debat Guan Eng
KUALA LUMPUR - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng meminta Pengerusi Eksekutif Lynas Corporation, Nick Curtis bertemu rakyat negara ini dahulu dan mendengar suara hati mereka berhubung pembinaan kilang di Gebeng, Kuantan.

Menurutnya, perkara itu telah dipersetujui kepimpinan Pakatan Rakyat (PR) kerana CEO Lynas perlu bertemu dengan rakyat yang terjejas terlebih dahulu sebelum bertemu beliau dan pemimpin PR yang lain.

“Rakyat haruslah didahulukan, bukan kami kerana kami adalah pemimpin yang bekerja untuk mereka,” katanya pada sidang media di Parlimen, semalam.

Dalam laporan sebelum ini, Lynas Corporation kecewa dengan keputusan Guan Eng yang menolak pelawaan untuk bertemu Nick Curtis, semasa lawatan rasmi Ketua Menteri Pulau Pinang itu ke Australia nanti.

Bagaimanapun, dalam kenyataan semalam, Lynas Corporation masih membuka tawaran untuk bertemu Guan Eng.

Katanya, syarikat mengalu-alukan peluang membantu Guan Eng memahami isu pelaburan Lynas Corporation terhadap penubuhan kilang di Gebeng, Kuantan.

Menurut kenyataan mereka, pertemuan itu khusus berhubung ulasan Guan Eng mengenai impak sampingan bahan radioaktif terhadap rakyat negara ini.