Sunday, March 4, 2012

Pimpinan tertinggi PAS temui Azizan, 2 EXCO


ALOR SETAR: Pucuk pimpinan tertinggi PAS malam tadi menemui Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak serta dua Exco yang enggan menerima pelantikan jawatan dalam usaha menjernihkan keadaan pentadbiran negeri ini.

Usaha itu diketuai Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta timbalannya, Muhammad Sabu dan beberapa ahli Jawatankuasa PAS Pusat berikutan mesyuarat di ibu negara selama empat jam yang diadakan pada malam Khamis lalu menemui jalan buntu.
Turut dipanggil ialah dua Exco yang dikatakan berusaha untuk menyingkirkan Azizan, iaitu Datuk Phahrolrazi Zawawi yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Kedah dan Datuk Dr Ismail Salleh yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Alor Setar.
Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pelaburan dan Industri yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Kedah, Datuk Amiruddin Hamzah turut hadir.

Abdul Hadi dilihat tiba kira-kira jam 9.50 malam dan mesyuarat tertutup yang berlangsung di Kediaman Rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon itu bermula kira-kira jam 10 malam.

Petugas media yang membuat liputan dan ahli PAS bagaimanapun tidak dibenarkan masuk ke kawasan berkenaan manakala pintu pagar dikawal ketat.

Kemelut dalam pentadbiran PAS Kedah bermula apabila Phahrolrazi yang juga Exco kanan bersama Dr Ismail menolak untuk dilantik semula ke jawatan itu beberapa hari sebelum majlis angkat sumpah jawatan Exco berlangsung di Istana Anak Bukit, Isnin lalu.
Berikutan itu, pelbagai usaha memujuk mereka menerima jawatan dilakukan oleh kepimpinan tertinggi parti, bagaimanapun gagal. Malah, Phahrolrazi dan Dr Ismail bertindak lebih berani apabila menetapkan syarat kepada Menteri Besar untuk dilantik semula ke jawatan itu, namun mereka enggan mengumumkannya.

Krisis kepimpinan itu dikatakan berlaku apabila Phahrolrazi dan Dr Ismail mengakui mereka tidak dapat lagi bekerja di bawah pentadbiran Azizan yang didakwa tidak mahu mendengar pandangan mereka, sebaliknya hanya membuat keputusan sendiri.

Phahrolrazi kemudian bersama jawatankuasanya di peringkat kawasan turut melarang Amiruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit menerima pelantikan Exco itu dan memberi kata dua, sama ada melepaskan jawatan Exco atau dipecat keahliannya.

ADUN Anak Bukit terletak dalam kawasan Kuala Kedah. Phahrolrazi juga adalah ADUN Pengkalan Kundur, manakala Dr Ismail adalah ADUN Alor Mengkudu di kawasan Alor Setar.
Berita Harian Online | Pimpinan tertinggi PAS temui Azizan, 2 EXCO:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment