Pengerusinya, Ahmad Syukri Ab Razab berkata, sikap Kerajaan Negeri Terengganu bukan sahaja tertutup, bahkan turut bercanggah dengan slogan ‘merakyatkan pentadbiran’ yang dicanang sendiri oleh Ahmad.
"Menteri Besar Terengganu tidak sepatutnya mencampur aduk kepentingan politik sempit dalam menilai hak yang dimiliki mahasiswa.
"Adalah tidak wajar untuk mahasiswa yang terbabit dihukum hanya kerana pendirian Kerajaan Negeri yang tidak bersetuju dengan Himpunan Bersih," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan di Kuala Terengganu semalam, Ahmad berkata, Kerajaan Terengganu telah menarik balik pemberian pinjaman kepada enam anak negeri yang belajar di Mesir, selepas didapati terlibat dalam perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara tahun lepas.
Ahmad berkata, tindakan itu diambil selepas kerajaan negeri tidak berpuas hati dengan penjelasan pelajar terbabit ketika menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan Kerajaan Terengganu.
"Kita biayai mereka untuk pergi belajar, bukannya untuk terlibat dengan demonstrasi atau perkara yang tidak diingini," katanya.
Ahmad Syukri pula berkata, Menteri Besar Terengganu sewajarnya bertindak lebih profesional dengan memisahkan sentimen politik seterusnya membuat keputusan yang lebih adil.
Kata beliau, sekiranya sifat ketinggalan zaman ini dikekalkan, maka tidak keterlaluan sekiranya mahasiswa sifatkan bahawa kerajaan negeri pimpinan Ahmad akan ditolak rakyat dalam pilihan raya yang akan datang.
"Oleh itu SMM menuntut agar tindakan membatalkan pinjaman terhadap enam mahasiswa terbabit ditarik semula. "Tindakan ini SMM simpulkan sebagai tidak bertamadun dan melanggar batas kemanusiaan apabila hak mahasiswa untuk mendapat pinjaman dinafikan secara kuku besi," katanya.
Ahmad Syukri berkata, mahasiswa terbabit dihukum tanpa asas yang jelas walhal mereka hanya mempraktikkan hak masing masing sebagai warganegara Malaysia.
"Jika benar bersalah, seharusnya pusat pengajian mereka terlebih dahulu mengenakan tindakan tatatertib kepada mereka.
"Sekiranya Kerajaan Terengganu benar-benar telus dalam menggerakkan agenda transformasi kerajaan yang dicanangkan, maka hukuman yang dikenakan terhadap enam mahasiswa terbabit perlu ditarik semula," katanya lagi.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment