Monday, April 30, 2012

Amaran Pas, 'Bersih 4.0' jika tolak tuntutan

Amaran Pas, 'Bersih 4.0' jika tolak tuntutan - Nasional - Sinar Harian:


WARTAWAN SINAR HARIAN
29 April 2012
Amaran Pas, 'Bersih 4.0' jika tolak tuntutan
Peserta Bersih 3.0 berbaring di hadapan pihak Polis Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di Dataran Merdeka, semalam. - Foto Bernama
SHAH ALAM - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi amaran perhimpunan lebih besar berbanding Bersih 3.0 akan diadakan jika kerajaan enggan memenuhi tuntutan agar disediakan persekitaran bagi pilihan raya bebas dan adil.

"Jika sekiranya tuntutan rakyat kekal tidak didengari, kita sedia menganjurkan perhimpunan lebih besar dengan jumlah berganda daripada Bersih 3.0 sehingga protes kita terhadap kekotoran pilihan raya diterima.

"Kita mahukan perubahan kerajaan dalam keadaan aman dan matang sebagaimana amalan negara-negara maju yang telah matang amalan demokrasinya," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Bersih 2.0 diadakan Julai lalu. Perhimpunan semalam adalah susulan kepada Bersih 2.0 bagi menuntut pembaharuan sistem pilihan raya.

Ia diadakan kira-kira sebulan selepas Dewan Rakyat meluluskan laporan akhir Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

Kenyataan hari ini dikeluarkan susulan perhimpunan Bersih 3.0 yang diadakan di ibu negara semala, yang menarik ribuan peserta, tetapi berakhir dengan insiden ganas.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, bagi pihak pimpinan Pas, "saya mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada seluruh ahli dan penyokong yang telah berjaya mengikut arahan pimpinan sehingga Bersih 3.0 berjaya diadakan dengan jayanya."

Katanya, ahli-ahli Pas telah menunjukkan komitmen bersungguh, sehingga jumlah yang ramai berjaya hadir dan bertugas dengan baik khususnya anggota Unit Amal.

"Begitu juga rakyat yang datang dari pelbagai latar belakang politik dan tidak berparti juga turut menjayakan," katanya lagi.

Abdul Hadi berkata, beliau sempat berjalan bersama rakyat dan pimpinan Pakatan Rakyat dari Masjid Negara hingga ke tengah bandar raya Kuala Lumpur.

"Saya bersyukur kepada ALLAH SWT dan moga semua yang menjayakan diberi ganjaran oleh ALLAH.

"Dalam masa yang sama saya mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada rakan Pakatan Rakyat yang ikut serta dan NGO-NGO yang memulakan himpunan sehingga tercapai kejayaan lebih besar daripada Bersih 2.0," katanya lagi.

Abdul Hadi menambah, pihaknya mahu kerajaan segera melakukan perubahan dalam demokrasi di Malaysia.

"Segera bersihkan daftar pemilih, bebaskan media dan lain-lain amalan demokrasi.

"Jangan tulikan telinga dengan protes besar rakyat kelmarin (semalam)," katanya lagi.

Peserta demonstrasi boleh didenda RM20,000

Kosmo! Online - Negara:



MEREKA yang membawa kanak-kanak dalam perhimpunan haram juga boleh dikenakan tindakan undang-undang.


KUALA LUMPUR - Peserta perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 3.0 boleh didenda antara RM10,000 hingga RM20,000 jika didapati melanggar Akta Perhimpunan Aman 2011 yang diluluskan oleh Parlimen baru-baru ini.
Jumlah denda tersebut adalah lima hingga 10 kali ganda daripada jumlah denda yang dkenakan sebelum ini iaitu RM2,000.
Kesalahan yang ditakrifkan dalam akta baharu itu termasuk merempuh sekatan polis, membawa anak kecil dan melakukan keganasan di tempat perhimpunan.
Akta baharu itu turut menyatakan seseorang penganjur didapati bersalah jika menganjurkan perhimpunan dalam jarak 50 meter dari tempat larangan.

Sunday, April 29, 2012

Bersih 3.0: KL pulih selepas lumpuh tujuh jam

Bersih 3.0: KL pulih selepas lumpuh tujuh jam - Nasional - Sinar Harian:


 Tinjauan dari udara peserta perhimpunan Bersih 3.0 berkumpul di Dataran Merdeka petang tadi. - Foto
Tinjauan dari udara peserta perhimpunan Bersih 3.0 berkumpul di Dataran Merdeka petang tadi. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Beberapa lokasi tumpuan awam pada hujung minggu di sekitar ibu kota kembali pulih menjelang 7 malam ini selepas hampir lumpuh selama tujuh jam ekoran perhimpunan yang dianjurkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan disokong pembangkang.
Peserta perhimpunan yang mula memasuki ibu negara seawal pagi di beberapa lokasi pertemuan yang paling berdekatan dengan Dataran Merdeka antaranya Masjid Negara, Masjid Jamek dan Menara Maybank akhirnya bersurai secara berperingkat.
Walaupun sekitar kawasan itu kembali 'hidup' semula, tinjauan Bernama mendapati anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan polis masih berada di lokasi tertentu bagi memastikan peserta perhimpunan itu tidak berkumpul semula.
Namun begitu, masih ada segelintir peserta perhimpunan masih berlegar di sekitar Jalan Tun Perak berhampiran Masjid Jamek.
Beberapa kawasan yang sebelum ini sesak kerana menjadi tumpuan demonstrasi jalanan, menjadi lengang manakala lalu lintas kembali pulih apabila demonstran meninggalkan lokasi tersebut.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam sidang media selepas itu memaklumkan polis telah menjalankan tugas dengan profesional dalam menangani perhimpunan yang bertukar menjadi luar kawalan di sekitar Dataran Merdeka.
Dilaporkan seramai 388 demonstran telah ditahan dan dibawa ke Pusat Latihan Polis di sini sehingga 8 malam ini.
Di IPOH, satu perhimpunan di perkarangan Taman Rekreasi Sultan Azlan Shah berakhir kira-kira 3.30 petang tanpa kejadian yang tidak diingini tetapi cuma kesesakan lalu lintas dilaporkan berlaku di kawasan berhampiran tempat perhimpunan.
Di MELAKA, beberapa anggota Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengalami kecederaan ringan ketika menjalankan tugas di kawasan perhimpunan di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir.
Ketua Polis Melaka Datuk Chuah Ghee Lyle berkata, kejadian tersebut berlaku ketika petugas MBMB dan polis menghalang peserta perhimpunan itu yang dikhuatiri mengganggu pertandingan pancaragam di dataran tersebut. - Bernama 

Sumber: Kesemua tahanan sertai Bersih dibebas

Sumber: Kesemua tahanan sertai Bersih dibebas - Nasional - Sinar Harian:


Tinjauan dari udara peserta perhimpunan Bersih 3.0 berkumpul di Dataran Merdeka petang tadi.
Tinjauan dari udara peserta perhimpunan Bersih 3.0 berkumpul di Dataran Merdeka petang tadi. - Foto Bernama
SHAH ALAM - Kesemua lebih 300 peserta perhimpunan Bersih 3.0, termasuk bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Abdul Aziz Bari dan Naib Presiden PKR, Tian Chua sudah dibebaskan setakat awal pagi tadi.

Mereka dibebaskan secara berperingkat-peringkat sehingga 5 pagi tadi.

Setakat 2.30 pagi tadi, 100 orang termasuk seorang budak bawah umur masih ditahan di Pusat Latihan Polis (Pulapol), kata peguam-peguam yang menghulurkan bantuan kepada mereka, menerusi laman mikro Twitter.

Beberapa peguam berada di pekarangan Pulapol untuk membantu tahanan sejak petang semalam, susulan tindakan polis menahan 388 peserta di ibu negara setakat 8 malam tadi.

Dalam mesej yang dikeluarkan sekitar jam 5 pagi tadi, seorang peguam yang menggunakan akaun atas nama pusparos berkata, "semua di Pulapol dah lepas."

Tian Chua pula menulis: "Baru sampai di rumah. Dibebaskan dari Pulapol sekitar 5 pagi manakala tahanan lain dihantar oleh polis ke Perhentian Bas Pekeliling."

Saturday, April 28, 2012

Hishammuddin: 'Saya sedih dengan apa yang berlaku'

Hishammuddin: 'Saya sedih dengan apa yang berlaku' - Nasional - Sinar Harian:


Sebahagian peserta perhimpunan Bersih 3.0 baring di atas jalan.
Sebahagian peserta perhimpunan Bersih 3.0 baring di atas jalan.
KUALA LUMPUR - Polis telah menjalankan tugas secara profesional dalam menangani perhimpunan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) disokong pembangkang yang bertukar menjadi luar kawalan di sekitar Dataran Merdeka di sini hari ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau berasa kagum dan bangga dengan polis yang tidak mudah melatah dengan provokasi yang dilakukan kira-kira 20,000 peserta perhimpunan itu.
"Saya sedih dengan apa yang berlaku hari ini, penganjur menjanjikan perhimpunan aman sebaliknya bertukar menjadi tidak terkawal walaupun kerajaan sedaya upaya memberi kebenaran untuk rakyat berkumpul secara aman di tempat yang
disyorkan.
"Mereka masih berdegil ingin mengadakan di Dataran Merdeka," katanya kepada pemberita di sini.
Beliau mengulas kejayaan polis menghalang percubaan peserta perhimpunan haram itu menceroboh Dataran Merdeka dengan merempuh penghalang dan kawat berduri dipasang selepas Mahkamah Majistet mengisytiharkan dataran itu sebagai kawasan larangan mulai semalam hingga 1 Mei.
Hishammuddin kesal dengan pihak penganjur dan peserta yang sanggup memperjudikan keselamatan umum demi kepentingan minoriti seperti mereka.
Katanya, peserta perhimpunan itu perlu 'membayar balik setimpal' apa yang mereka lakukan iaitu menggadaikan keselamatan majoriti orang awam demi menyuarakan hak asasi mereka.
"Saya sedih dengan usaha transformasi kerajaan yang cuba kita bawa, seperti menghapuskan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) dan mewujudkan Akta Perhimpunan Aman, tetapi telah dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan
mengambil kesempatan mengajak rakyat berdemonstrasi dan mengancam keselamatan awam," katanya.
"Perkara mengenai orang ramai perlu lihat secara teliti, apa yang cuba penganjur katakan perhimpunan ini adalah aman tetapi tidak aman," katanya.
Hishammuddin berkata, bukan perkara mudah bagi kerajaan untuk mencapai keseimbangan antara hak asasi manusia dengan menjaga keamanan negara.
Beliau berkata, perhimpunan hari ini tidak menjejaskan keselamatan dan kepentingan awam di negara ini dan yakin dengan kemampuan polis menjaga keselamatan awam. - Bernama

Bersih 3.0 serentak di beberapa negara

Bersih 3.0 serentak di beberapa negara - Nasional - Sinar Harian:


Bersih 3.0
Bersih 3.0 di Melbourne - Gambar ehsan @BERSIH3oz
KUALA LUMPUR - Perhimpunan Bersih 3.0 turut diadakan  serentak dibeberapa buah lokasi selain Kuala Lumpur, semalam.

Berucap ketika "Duduk Bantah" dikawasan Jalan Tun Perak,  Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, Bersih turut diadakan di Dubai, London, Bangkok dan Sydney di Australia.

Manakala di Amerika Syarikat akan dilancarkan hari ini.

" Di Madinah, Bersih sudah dilancarkan kelmarin," katanya dihadapan peserta perhimpunan Bersih 3.0, semalam. 

Menurut Mohamad, pelancaran itu menunjukkan sokongan rakyat  yang menuntut pilihan raya adil dan bersih.

388 peserta himpunan Bersih ditahan

388 peserta himpunan Bersih ditahan - Nasional - Sinar Harian:


Bersih 3.0
Antara peserta Bersih 3.0 yang ditahan di persimpang menuju ke Dataran Merdeka
Situasi jam 9.55 pagi - penyokong Bersih berkumpul di kawasan Jalan Petaling, Kuala Lumpur.
Situasi jam 9.55 pagi - penyokong Bersih berkumpul di kawasan Jalan Petaling,

Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR -  Polis Bukit Aman mengesahkan seramai 388 orang yang berada di perhimpunan Bersih 3.0 telah ditahan setakat 8 malam tadi dan mereka telah dibawa ke Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini.
Setakat 7 petang tadi, seramai 222 peserta telah ditahan dan ia meningkat sejam kemudian.
Dalam pada itu, laporanBernama menyebut bahawa Hospital Kuala Lumpur (HKL) menerima 63 pesakit yang menjadi peserta perhimpunan hari ini.
Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL, Prof Datuk Seri Abu Hassan Ashaari Abdullah berkata, pihaknya juga merawat dua anggota polis yang cedera ringan ketika bertugas pada perhimpunan itu setelah cedera di kepala dan patah gigi.
Daripada jumlah 65 orang itu, seramai 40 lelaki dan 25 wanita, kebanyakan menerima rawatan akibat kecederaan dan kepenatan ketika menghadiri perhimpunan berkenaan.
"Kesemua mereka berumur antara 15 tahun dan 74 tahun. Daripada 65 orang itu, tujuh dimasukkan ke dalam wad masalah pernafasan dan kepenatan. Selebihnya menerima rawatan pesakit luar," katanya kepada pemberita.  
Beliau berkata, pihak hospital menyediakan 160 kakitangan dan pegawai serta pelbagai kemudahan termasuk makanan kepada pesakit berkenaan.
Di Melaka, beberapa anggota Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengalami kecederaan ringan ketika menjalankan tugas di Perhimpunan anjuran NGO yang sama di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir.
Ketua Polis Melaka Datuk Chuah Ghee Lyle berkata,kejadian tersebut berlaku ketika petugas MBMB dan polis menghalang peserta perhimpunan itu yang dikhuatiri mengganggu pertandingan pancaragam di dataran tersebut.

Bersih 3.0 berakhir dengan 'hodoh'

Bersih 3.0 berakhir dengan 'hodoh' - Nasional - Sinar Harian:



28 April 2012
Polis guna gas pemedih mata surai peserta Bersih
Peserta dan penyokong cuba bergerak keluar dari kawasan berhampiran selepas polis melepaskan gas pemedih mata sekitar 3.15 petang tadi. Foto ihsan oleh Fareez K.Intidzam
KUALA LUMPUR - Perhimpunan Bersih 3.0 yang dirancang untuk diadakan secara aman berakhir dengan kekecohan apabila segelintir peserta dan penyokong merempuh pagar halangan polis untuk memasuki Dataran Merdeka, pada jam 3 petang tadi, menyebabkan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) menembak gas pemedih mata.
Rempuhan itu dibuat hanya beberapa minit selepas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin lain, termasuk Datuk Ambiga tiba di tengah-tengah lautan penyokong.
Penyokong Bersih tidak bersurai sepenuhnya dan ada yang dilihat membaling semula bekas gas pemedih mata yang dilepaskan, menyebabkan FRU menggunakan meriam air.
Sebelum itu, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mengumumkan penganjur Bersih sedang berunding dengan pihak polis untuk dibenarkan memasuki dataran dan berjanji perhimpunan itu kekal aman.
Namun permintaan Azmin supaya penyokong bertenang sementara menunggu keputusan rundingan, tidak dilayan.
Terdapat penunjuk perasaan ditahan di akhir perhimpunan, namun jumlah sebenar belum diketahui.
Perhimpunan kali ini menyaksikan hampir 80,000 penyokong Bersih berkumpul di jalan raya sekitar Dataran Merdeka bagi menuntut pilihan raya yang adil.
Mengikut kenyataan awal polis, sekitar 25,000 orang berkumpul di ibu negara hari ini.
Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub dipetik berkata pihaknya menganggarkan lebih 100,000 menyertai perhimpunan hari ini.
Difahamkan kira-kira 100 orang, yang menyertai perhimpunan Bersih 3.0, dipercayai ditahan berhampiran kawasan Dataran Merdeka petang ini selepas tidak mematuhi arahan polis dan merempuh sekatan yang didirikan.
Difahamkan sebahagian daripada mereka juga kanak-kanak.
Dalam pada itu, Bernama melaporkan bahawa polis berjaya menghalang percubaan peserta perhimpunan haram untuk menceroboh Dataran Merdeka hari ini dengan merempuh pengadang dan kawat berduri dipasang selepas Mahkamah Majistet mengisytiharkan dataran itu sebagai kawasan larangan.
Sebelum bertindak, polis yang berada di belakang pagar penghalang itu telah mengeluarkan amaran sebanyak tiga kali kepada peserta perhimpunan agar tidak memasuki kawasan larangan itu.
Namun peserta tetap berdegil lalu merempuh serta cuba melepasi pagar halangan tersebut menyebabkan polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan air mengandungi bahan kimia untuk menyurai dan mententeramkan keadaan dalam insiden kira-kira jam 3 petang.
Tindakan polis itu mengakibatkan peserta perhimpunan melarikan diri ke arah kawasan Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Raja Laut.
Peserta perhimpunan bertindak balas membaling botol air plastik, botol air kaca dan kayu ke arah polis.
Pengerusi Bernama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk Ambiga Sreenevasan dan pemimpin pembangkang lain turut beredar dari tempat perhimpunan tersebut setengah jam kemudian serta turut meminta peserta untuk beredar.
Peserta perhimpunan sehingga kini masih berada berhampiran kawasan dataran dan kompleks membeli belah Sogo.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum ini melarang penganjur mengadakan perhimpunan tersebut di Dataran Merdeka kerana tempat itu hanya dibenarkan untuk acara-acara rasmi bertaraf nasional.
Polis semalam mendapat perintah daripada Mahkamah Majistret Kuala Lumpur yang melarang pihak berkenaan daripada berkumpul di Dataran Merdeka mulai tengah malam tadi hingga 1 Mei.
Tindakan boleh diambil terhadap mereka yang melanggar perintah itu, mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali. 
Polis dijadual mengadakan sidang media dalam waktu terdekat.
Bersih membuat perancangan untuk mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka antara 2 dan 4 petang. Bagaimanapun usaha itu tidak diluluskan oleh polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Kelmarin, polis memperoleh perintah mahkamah mengisytiharkan Dataran Merdeka sebagai kawasan larangan kepada penganjur Bersih 3.0 dan publik.
Ekoran rempuhan dan kekecohan itu, Anwar dan pemimpin lain dipercayai dibawa ke lokasi selamat sebaik penyokong merempuh pagar.

HIMPUNAN BERSIH 3.0: PERKEMBANGAN DI KL

HIMPUNAN BERSIH 3.0: PERKEMBANGAN DI KL - Nasional - Sinar Harian:



HIMPUNAN BERSIH 3.0: PERKEMBANGAN DI KL
Penyokong Bersih dan Anti-Lynas merempuh halangan polis di kawasan KLCC. Rempuhan itu dikepalai Unit Amal Pas. - Foto Sinar Harian oleh Nurul Riduan Nor Ashaha
BERIKUT perkembangan di ibu negara menjelang perhimpunan Bersih 3.0:

9.45 malam: Beberapa peguam menghantar mesej Twitter sedang ke Pulapol untuk membantu mereka yang ditahan polis. Sehingga 8 malam tadi, seramai 388 orang yang berada di perhimpunan telah ditahan dan mereka telah dibawa ke Pulapol.
9.40 malam: Beberapa pemegang akaun Twitter berkongsi maklumat bahawa kereta polis diterbalikkan untuk membantu mangsa yang tersepit ekoran satu kemalangan.
9.30 malam: Dataran Merdeka masih kawasan larangan. Orang awam tidak kelihatan.
6.30 petang: Polis mengesahkan bahawa senapang milik anggotanya yang dikatakan hilang, diambil peserta perhimpunan, sudah ditemui.
6.00 petang: Dataran Merdeka masih dikawal oleh polis.
5.50 petang: Naib Presiden PKR Tian Chua menghantar mesej Twitter bahawa beliau ditahan polis.
5.25 petang: Seorang jurukamera TV Al-Hijrah, Mohd Azri Mohd Salleh Khalid didakwa dibelasah oleh penyokong Bersih di hadapan Kompleks Sogo ketika cuba menghalang penyokong yang sedang menyerang seorang anggota polis selepas mereka memecahkan tingkap kenderaan polis.
5.15 petang: Seorang penyokong Perhimpunan Bersih 3.0 menasihatkan peserta perhimpunan supaya beredar dari kawasan Wisma Sime Darby, yang terletak di Jalan Raja Laut.
4.45 petang: Polis melepaskan air pemedih mata ke atas mereka dipercayai peserta perhimpunan di Jalan Sultan Ismail.
4.45 petang: Polis melepaskan tembakan gas pemedih mata di kawasan Medan Tunku
4.40 petang: Gas pemedih mata dilepaskan ke atas peserta perhimpunan berhampiran gudang membeli-belah Mydin, Jalan Tun Perak. Peserta melari ke arah Menara Maybank, berdekatan Pudu Sentral. Polis beredar dari kawasan Menara Maybank beberapa minit kemudian, tetapi provokasi terus dilakukan. Mereka bertindak membaling botol minuman.
4.35 petang: Ada maklumat bahawa kereta polis terbalik, di kawasan Kompleks Sogo.
4.30 petang: Twitter PDRM menyebut bahawa seramai 29 peserta perhimpunan pengsan, menerima bantuan perubatan.
4.30 petang: Penyokong mengosongkan pekarangan ibu pejabat Pas. Semua bersurai.

4 petang: Anggota polis masih berkawal di stesen LRT Masjid Jamek dan kini beberapa siri tangkapan dilakukan, beberapa anggota polis turut cedera akibat dibaling batu oleh peserta perhimpunan.
3.55 petang: Laporan tidak rasmi menyebut lebih 100 orang ditahan. Polis dijadual akan mengadakan sidang media dalam waktu terdekat. Ada peserta dilaporkan pengsan.
3.50 petang: Pasukan FRU terus bergerak ke arah Jalan Raja Laut untuk menyuraikan peserta.
3.45 petang: Polis keluar dari kawasan Dataran Merdeka untuk 'membebaskan' ibu negara daripada peserta perhimpunan, yang berada di beberapa kawasan di pusat bandar raya.
3.45 petang: Laporan SMS The Sun menyebut beberapa pemilik kedai di Jalan Munshi Abdullah membuka pintu kedai masing-masing bagi membolehkan peserta perhimpunan berteduh.
3.13 petang: Sebahagian peserta berkumpul semula di kawasan Kompleks Sogo. Berarak semuka ke ibu pejabat Pas di Jalan Raja Laut.
3.11 petang: Anwar dilaporkan melepasi sekatan polis dari arah Jalan Raja Laut. Polis bergerak ke arah kumpulan yang datang dari arah Masjid Negara.
3 petang: Peserta rempuh masuk sekatan, FRU bertindak - gas dan air pemedih mata dilepaskan. Peserta pula bertindak baling batu ke arah polis. Seorang peserta ditahan dan digari.
2.55 petang: Peserta dan penyokong Bersih merempuh, polis berundur. Pasukan FRU mengambil alih kedudukan.
2.55 petang: Anwar, Ambiga, Azizah, Nurul Izzah dan Kit Siang serta Mazlan Aliman tiba berhampiran Dataran Merdeka, tengah-tengah penyokong, dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda.
2.44 petang: Mat Sabu mula bergerak ke arah Dataran Merdeka melalui Jalan Tun Perak.
2.30 petang: Azmin berucap, kata rundingan sedang dijalankan dengan polis untuk bagi mereka masuk dataran, dan minta peserta bertenang dan duduk di jalan raya.
2.25 petang: Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu arah peserta himpun duduk, di simpang jalan. Tetapi peserta terus berarak. Mat Sabu duduk dan diikuti para peserta Bersih. Mereka melaungkan duduk itu 'bersih, berdiri itu kotor'. Mat Sabu berdiri untuk berubap. Mat Sabu kata Himpunan Bersih 3.0 diadakan du Dubai, London, dan sedang berlangsung di Bangkok, Thailand dan Sydney, Australia. Esok tengah hari di Amerika Syarikat.

2.15 petang: Peserta cuba untuk merempuh masuk ke Dataran Merdeka.
2.08 petang: Penyokong-penyokong di kawasan berhampiran membuat laungan "We Want Dataran".

2 petang: Dari Pasar Seni, ribuan sertai perarakan ke arah Masjid Jamek yang disertai pemimpin pembangkang, Anwar Ibrahim, Hadi Awang dan Lim Kit Siang

2 petang: Anwar sudah sampai di kawasan Masjid Jamek.
2.00 petang: Kain rentang tertulis "pilihan raya bersih dan adil" dipamerkan. Penyokong bersih mula duduk di sekitar Jalan TAR untuk menunggu kebenaran masuk ke dalam kawasan Dataran Merdeka.
2.00 petang: Suasana kelihatan meriah di sekitar Jalan Tun HS Lee. Mereka melaungkan Bersih, Bersih dan bertepuk tangan.
1.50 tengah hari: Lebih kurang 10 orang penyokong Bersih baring bersama kain rentang di hadapan Wisma Bandar Jalan TAR.
1.48 tengah hari: Anwar sudah bergerak ke Dataran melalui Pasar Seni dari Masjid Negara.
1.45 tengah hari: Kumpulan Besar dijangka 10,000 peserta diketuai oleh Unit Amal Pas ke Dataran.
1.43 tengah hari: Polis membuat sekatan di hadapan bulatan dekat dengan Bank Negara Malaysia.
1.45 tengah hari: Mula berkumpul, melaungkan "Hancur-Hancur", kumpulan besar dari Pasar Seni mula bergerak mulai jalan ke Pudu, seterusnya ke Dataran.
1.30 tengah hari: Di Masjid Negara, kumpulan besar dari Masjid Negara yang diketuai Anwar mula bergerak ke Dataran Merdeka.
1.25 tengah hari: Peserta Bersih menjamu selera di restoran berhampiran Pasar Seni. Dalam beberapa minit lagi kumpulan besar dijangka, lebih 10,000 akan bergerak ke Dataran Merdeka.
1.25 tengah hari: Datuk S. Ambiga berkata mereka akan bergerak dari Pasar Seni ke arah Dataran Merdeka, pada jam 1.45 petang.
1.20 tengah hari: Penyokong barisan hadapan cuba mengangkat pagar besi yang diletak sebagai penghadang. Cubaan merempuh masuk yang pertama.
1.20 tengah hari: Pasukan Unit Amal Pas mula mengawal ketat keselamatan pemimpin utama Pakatan Rakyat di Masjid Negara.
1.10 tengah hari: Karpal baru sampai di pekarangan bangunan Majlis Peguam.
1.10 tengah hari: Polis sudah bersedia untuk bertindak. Masih menunggu loceng dibunyikan.

1.10 tengah hari: Polis anggarkan hanya 5,000 peserta di kawasan Dataran Merdeka
1 tengah hari: Menurut sumber rempuhan akan dibuat jam 1.30 tengah hari oleh peserta.
12.40 tengah hari: Di kawasan Masjid Negara, kumpulan diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba merempuh 'benteng' polis.

12.36 tengah hari: Anwar tiba di kawasan Masjid Negara dan dijangka menunaikan solat Zohor.
12.15 tengah hari: Sekumpulan penyokong Bersih lebih kurang 500 yang diketuai oleh Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar, dan mereka akan bergerak ke Dataran Merdeka. Peguam Bersih sedang meminta kebenaran PDRM untuk melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman.

12.15 tengah hari: Kira-kira 20 ahli Parlimen dan Adun Pakatan Rakyat duduk di dalam satu bulatan sambil dikelilingi 50

12.09 tengah hari: Di kawasan Masjid Negara, kelihatan Lim Kit Siang sudah tiba di lokasi

12.05 tengah hari: Arahan daripada pihak Bersih - minta peserta perhimpunan duduk dan menunggu sehingga jam 1.30 petang.

12 tengah hari: Seorang dikenali Azhar, membacakan sajak - "Aku Duduk, Aku Bantah" di atas pentas Pasar Seni

12 tengah hari: Kehadiran YB Datuk Seri  Nizar Jamaluddin di atas pentas Pasar Seni

12.01 tengah hari: Di kawasan Masjid Negara, sebuah trak watercanon melalui kawasan Masjid Negara dan penyokong Bersih bersorak.

12 tengah hari: Di kawasan Masjid Negara, penyokong Bersih mula menyanyikan lagu Negaraku. Keadaan semakin sesak di sini

11.55 pagi: Di kawasan Masjid Negara, kelompok besar dikatakan menunggu ketibaan Datuk seri Anwar Ibrahim jam 12.30 tengah hari.

11.55 pagi: Peserta perhimpunan menyanyikan lagu Negaraku dan masih berhimpunan di hadapan Pasar Seni.

11.55 pagi: Datuk Chua Jui Meng dari PKR turut berada di atas pentas dengan Datuk S Ambiga di Pasar Seni. Zunar Kartunis juga turut serta.

11.55 pagi: Masalah untuk berkomunikasi di lokasi Masjid Negara.

11.55 pagi: Zunar berucap menggunakan pembesar suara dan mengarahkan peserta bergerak ke Dataran Merdeka jam 1.30 petang.

11.45 pagi: Di sekitar Pasar Seni, kira-kira 5,000 orang. Mereka mula berarak dengan diketuai oleh Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi  dari Stesen keretapi lama ke Pasar Seni.

11.42 pagi: Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali tiba di persimpangan Jalan Raja-Jalan Tuanku Abdul Rahman. Azmin Ali duduk di atas bahu jalan menyokong paara peserta. Beri ucapan menggunakan pembesar suara.

11.40 pagi: Di hadapan pejabat Majlis Peguam seramai 100 orang penyokong berkumpul dan berdemo secara aman dengan duduk ditepi jalan berikutan cuaca panas.

11.40 pagi: Anggota FRU telah ditempatkan di Dataran Merdeka

11.35 pagi: Di kawasan Masjid Negara, kelihatan tujuh trak FRU mula bergerak ke arah Dataran Merdeka.

11.35 pagi: Orang ramai dilarang masuk ke Pasar Seni. Mereka diminta keluar dari Pasar Seni kerana pihak pengurusan akan menutup buat sementara waktu.

11.35 pagi: Dalam Komuter dari Klang penuh dan dengan penyokong Bersih sambil melaungkan takbir dan bersorak demi anak cucu

11.30 pagi: Jalan Lebuh Pasar dan Jalan Sultan Hishamuddin lenggang, hanya dipenuhi oleh anggota penguat kuasa terdiri anggota polis dan DBKL ini kerana pihak berkuasa telah menutup jalan lebih jauh daripada Dataran.

11.25 pagi: Sepasangan kekasih dari Petaling Jaya, memakai baju kuning dan penuh dengan lencana bunga kuning. Kehadiran mereka menarik perhatian ramai.  Sheren Chin dan kekasihnya dikenali sebagai  Zideck tidak tidur semalaman menyiapkan pakaian tersebut. Bunga2 di baju tersebut akan diberikan kepada peserta perhimpunan apabila tiba di Dataran Merdeka.

11.25 pagi: Seramai 70 anggota dan pegawai JPAM yang bertugas di Dataran, maktab dan pusat latihan polis termasuk 6 hotspot perhimpunan bersih di sekitar KL.

11.05 pagi: Azmin Ali bersama peserta Bersih berada di hadapan Sogo. Azmin Ali mula berarak ke Dataran. Beliau berarak ke Dataran melalui Jalan Masjid India..

11.00 pagi: Hampir 2,000 penyokong bergerak dari KLCC ke Dataran Merdeka selepas merempuh halangan polis.

10.40 pagi: Penyokong Bersih mula membuat bantahan dengan duduk di kawasan jalan raya.. Dianggarkan seramai 300 orang.

10.40 pagi: Pusat membeli-belah Sogo telah mula beroperasi, namun hanya pintu utama dibuka, manakala pintu sisi ditutup untuk tujuan keselamatan

10.40 pagi: Di dalam Pasar Seni, masih banyak kedai yang belum dibuka. Peserta perhimpunan turut mengambil peluang berlegar-legar di dalam kerana keadaan berhawa dingin berbanding di luar

10.40 pagi: Di kawasan KLCC, kira-kira 1,500 Penyokong Anti-Lynas di KLCC mula berarak ke Kedutaan Australia melalui Jalan Ampang

10.35 pagi: Ambiga bergerak ke Dataran Merdeka.

10.30 pagi: Kira-kira 20 Unit Amal Pas di sekitar Pasar Seni. Keadaan terkawal dan gerai di sekitar Kasturi Walk yang menjual cenderamata masih ditutup, hanya peniaga air yang mendapat sambutan.

10.22 pagi: Di kawasan Masjid Negara, Unit Amal berucap memberi kata-kata semangat kepada peserta untuk terus bertahan dan bersemangat tinggi mencapai matlamat Bersih 3.0.

10.20 pagi: Masjid Negara, pergerakan mula berlaku, kira-kira 3,000 penyokong Bersih bersiap-siap untuk memulakan perarakan ke dataran

10.15 pagi: Peserta yang turun dari LRT Pasar Seni berjalan kaki beramai-ramai dan menuju ke Petaling Street seterusnya ke arah Masjid Jamek

10.15 pagi: Penyokong Anti-Lynas berpecah kepada dua kumpulan, satu masih di hadapan KLCC-Jalan Ampang, manakala lokasi baru di hadapan KLCC-Simpang empat Jalan Ampang dan Yap Kwan Seng

10.05 pagi: Peniaga air soya di Jalan Petaling diberi jolokan "Bersih Soya" mendapat sambutan dikalangan peserta perhimpunan. Pemilik gerai Kim Soya Bean itu juga melaungkan Bersih 2 dan menjual air soya RM1 sahaja

10.00 pagi: Belon 'Angry Bird' dijual RM20 tarik perhatian. 'Angry Bird' berwarna kuning itu juga ditulis Save Malaysia, Stop lynas

10 pagi: Jumlah terkini penyokong yang berada di betul-betul sebelah Dataran (simpang Jalan TAR dan Jalan Raja), antara 8,000 hingga 10,000. Ini anggaran kasar.

9.55 pagi: Di kawasan Masjid negara, penyokong terus bertambah tapi belum ada pergerakan, semua masih menunggu arahan seterusnya.

9.51 pagi: Di kawasan Petaling Street, peserta perhimpunan berkumpul dan melaungkan Bersih berulang kali. Gerai-gerai di sekitar Petaling Street juga masih belum dibuka.

9.50 pagi: Lebih 500 penyokong Bersih dan Anti-Lynas berhimpun di hadapan KLCC. Polis juga dilihat berkawal di kawasan berhampiran.

9.50 pagi: Peserta perhimpunan bergerak dari Pasar Seni menuju ke Petaling Street. Mereka juga bertindak menukar pakaian dan memaki T -shirt Bersih 3.0.

9.49 pagi: Dianggarkan jumlah terkini yang berada di kawasan persimpangan ke Dataran Merdeka seramai 5,000.

9.40 pagi: Polis memberi kerjasama baik kepada dua wartawan Sinar Harian yang menunggang motosikal untuk membuat liputan di KLCC.

9.40 pagi: Anggota bomba dan unit kecemasan HKL turut ditempatkan berhampiran dengan Dataran, Stadium, Bangun Sultan Abdul Samad dan beberapa kawasan yang lain.

9.45 pagi: Peserta perhimpunan semakin bertambah dan berkumpul di sekitar Pasar Seni.

9.41 pagi: Di kawasan Masjid Negara, penyokong Bersih terus bertambah, sekarang anggaran 1,500 orang. Ramai lagi mula datang dengan pakaian Bersih

9.40 pagi: Penyokong Duduk Bantah Bersih 3.0 berhimpun di hadapan Pejabat Agung Pas di Jalan Raja Laut

9.40 pagi: Helikopter PDRM mula berlegar-legar di lokasi-lokasi Bersih

9.38 pagi: Kelihatan 100 penyokong berkumpul di hadapan Kompleks Pertama.

9.35 pagi: Tindakan penyokong Bersih duduk di jalan raya menghalang ambulans HKL ke lokasi kecemasan

9.40 pagi: Penyokong Bersih menjadikan kawasan berhampiran Dataran sebagai pesta, mereka bergambar sesama sendiri, tidak kurang juga yang menjual lencana Bersih,  ada juga yang menelefon rakan lain ajak berkumpul di Dataran.

9.30 pagi: Ketibaan Unit Amal di Dataran Merdeka.

9.30 pagi: Peserta Bersih 3.0 bersorak apabila pasukan Polis Diraja Malaysia melalui jalan di stesen LRT Masjid Jamek. Mereka bersorak dan menunjukkan tanda gembira dengan kehadiran polis.

9.30 pagi: Peserta mula membanjiri perkarangan stesen LRT Masjid Jamek dengan memakai baju yang tertulis 'Bersih 3.0, Duduk Bantah', SAMM, kain yang diikat di tangan dan kepala.

9.30 pagi: Lebih 20 anggota polis bantuan dilihat berada di dalam stesen LRT Masjid Jamek untuk mengawal keadaan.

9.30 pagi: Warga emas dari Kedah semangat datang ke perhimpunan Bersih 3.0 sejak Jumaat lalu dan tidak tidur sehingga hari perhimpunan. Mereka tidur di Masjid Jamek bagi memberi sokongan.

9.30 pagi: Lebih kurang 500 peserta masih duduk di perkarangan stesen LRT Masjid Jamek sebelum menyertai perhimpunan Bersih 3.0 di Dataran Merdeka.

9.20 pagi: Penyokong mula duduk di atas jalan raya.

9.15 pagi: Seramai lebih 100 anggota polis 'standby' di hadapan Sogo. Kelihatan beberapa buah bas menghantar polis ke lokasi.

9.20: Penyokong Bersih terus membanjiri kawasan Masjid Negara, jumlah meningkat kepada kira-kira 1,000 orang. Sepasukan 30 orang unit amal turut kelihatan.

9.10 pagi: Penyokong Bersih cuba menghampiri Dataran Merdeka dan berkumpul berhampiran Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sambit menjerit "Bersih" dan "Reformasi".

9.08 pagi: Kira-kira 300 penyokong Bersih 3.0 sudah membanjiri pekarangan Masjid Negara.

9.05 pagi: Kebanyakan penyokong Bersih, pada masa sekarang, kelihatan kalangan remaja.

9 pagi: Jalan Tuanku Abdul Rahman di hadapan Kompleks Sogo ditutup kepada kenderaan. Polis mula membuat benteng.

8.41 pagi: Menurut mesej Twittter empat bas PDRM sudah mula bergerak ke Stesen Masjid Jamek.

8.40 pagi: Stesen LRT Masjis Jamek terdapat penyokong Bersih dan anggota polis ditugaskan mengawal keselamatan.

8.30 pagi: Dianggarkan lebih 3,000 penyokong Bersih mula berkumpul di luar Dataran Merdeka, di persimpangan Jalan TAR dan Jalan Raja. Sorakan bermula

7.40pm: Kira-kira dua ribu pegawai polis telah berada di dalam Dataran Merdeka.

6.30 pagi - ratusan polis (mungkin hampir seribu) mula masuk dataran.

6.15 pagi - kira-kira 60 pegawai polis mula berkumpul di jalan depan Bangunan DBKL. Dua bas polis dan tiga trak polis membawa ratusan pegawai tiba di sekitar dataran

5.15 hingga 6.15 pagi - Tiada banyak perkara berlaku. Hanya polis yang sekali sekala memantau kawasan menaiki motosikal dan kereta. Laungan azan Subuh dan bunyi jam menandakan masuk jam 6 pagi, memecah kesunyian.

5.15 pagi - jeritan reformasi kedengaran, datang daripada sekumpulan kecil penyokong.

5 pagi: Tidak lebih 200 penyokong Bersih telah berada di sekitar Dataran, berhampiran bangunan DBKL. Kebanyakan mereka sedang tidur di kaki lima.
Puluhan pegawai polis berada di dalam kawasan dataran yang telah ditutup.