Thursday, April 12, 2012

Berjiwa besarlah seperti Salahuddin Ayub

Salahuddin Ayub

Saat Aceh dilantun gempa bumi dengan kekuatan 8.6 skala ritcher saya sedang minum kopi dengan Naib Presiden Pas Salahuddin Ayub di sebuah kopitiam di Taman Melati Kuala Lumpur. Agak lama saya tidak bersembang dengan Salahuddin. Sejak beliau 'bertukar paksa' kawasan dari Kubang Kerian (Kelantan) ke Johor (belum tentu kerusi mana), jarang-jarang kami dapat bersembang kerana masing-masing kesibukan.

Saat saya di Kuala Lumpur dia ke Johor Bharu. Nampaknya Salahuddin terpaksa membuka 'huma' baru sekali lagi selepas berjaya membuka tanah hutan di Kubang Kerian. Tentulah berbeza sekali membuka tanah hutan di Johor dengan mendiami kawasan sudah kerja (KSK) di Kelantan. Apa yang diduduki atau diusahakan oleh Salahuddin di Kubang Kerian boleh dianggap sebagai, dia mengusahakan kawasan sudah kerja (KSK).

Berada di KSK lebih mudah dari membuka huma baru yang masih penuh dengan onak dan duri serta gaung yang curam dan dalam. Di KSK kemudahan asas seperti jalan, eletrik dan air sudah tersedia. Tunggu lagi untuk mengindah dan mencantikkan memerlukan daya kreativiti yang tinggi. Alhamdulilah selepas sembilan tahun (dua penggal) di Kubang Kerian Salahuddin berjaya memberi sesuatu kepada rakyat Kubang Kerian dan beliau sendiri berjaya mencatat nama sebagai seorang wakil rakyat berkualiti.

Menyebut jasa besar beliau di Kubang Kerian bagi saya ialah bagaimana usaha beliau membangunkan rumah untuk anak-anak yatim. Mengkagumi peruntukan dicari sendiri dan tidak bergantung kepada bantuan kewangan kerajaan. Sokongan orang ramai membantu anak yatim dari seruan ikhlas Salahuddin menjelaskan bahawa beliau mempunyai pengaruh dan disayangi oleh orang ramai.

Selain itu beliau berjaya memainkan peranan di parlimen dengan jayanya. Perbahasan atau isu-isu serta kerajinan ditunjukkan meletakkan Salahuddin sebagai ahli Parlimen dikenali dan dikagumi. Ini ditokok pula dengan cara dia berbahas dan berhujah penuh sentimental dan tidak dibuaki emosi. Tentulah kejayaan itu didokongi keberhasilan beliau sebagai wakil rakyat di Kubang Kerian.

Perpindahan beliau ke Johor saya ibaratkan sebagai pulangnya perantau ke negeri sendiri setelah lama berpergian menuntut ilmu. Ketiadaanya selama ini bolehlah dianggap beliau pergi bertapa mempelajari ilmu dan menuntut rukun-rukun dan peradaban politik di Kelantan. Al maklumlah Kelantan adalah universiti politik terbuka di negara ini.

Apabila Salahuddin diminta untuk pulang dan dia sendiri rela, ini menunjukkan ilmu yang dipelajarinya sudah sarat dalam dada. Dia sudah bersedia untuk berbakti di watan sendiri. Apa yang diperolehi dan dialami selama sembilan tahun di Kelantan akan dicurah ataupun dimanfaatkan di negeri kelahirannya pulak.

Membuka tanah baru atau pulang untuk berhadapan dengan petulangan, bukan mudah. Johor adalah kubu kuat Umno yang penuh dengan pahlawan yang tikam tidak lut selam tidak lemas bakar tidak mudah hangus. Ia akan menguji Salahuddin sebagai pejuang dan pemimpin. Di Johor nanti daya kepimpinannya akan dituji. Intelektualiti kepimpinanya juga akan diperiksa. Begitu juga dengan ilmu hakikat siasah yang diperolehi akan dicabar di Johor kelak.

Di sini saya tidak mahu memperkatakan apakah beliau berjaya atau tidak. Berjaya dalam perjuangan adalah subjektif. Kejayaan bukan bermakna menang kerusi yang ditandingi, tetapi berjaya mengharungi perjuangan, pembukaan tanah human baru dan ikhlas meninggalkan tanah lama juga, itulah kejayaan sejati. Dalam perjuangan kalah dalam pertarungan bukan kalah. Istiqamah dalam perjuangan itulah kemenangan mutlak yang dicari.

Mengenang pengembalian Salahuddin ke Johor sesuatu yang menarik buat saya. Perpindahan tanpa bantah zahir itu menunjukkan beliau ada nilai-nilai tawaduk dan taat kepada pucuk pimpinan. Apabila timbul cakap-cakap mengatakan Pas Kelantan tidak mahukan orang luar, atau orang luar setakat dua penggal sahaja, Salahuddin sudah membuat persediaan disegi mental. Dia memahami mesej itu dan bertindak sebelum orang mengunci pagar.

Beliau tidak memberi apa-apa komen dan pasrah dengan kehendak dan keputusan itu. Syarat yang ditetapkan oleh Kelantan yang memberi pinjaman dan gelanggang untuk beliau berlajar mengenali rakyat dengan title wakil rakyat diterima dengan penuh terima kasih. Maka beliau terus membuat persiapan untuk berpindah rumah dan membuka huma baru.

Tidak ada apa-apa protes baginya. Saya pernah menyatakan sesuatu kepadanya untuk mengenali hati budinya dalam politik dengan perpindahan itu. Namun beliau tenang menjawab; "kita sebagai pejuang dan orang parti kena ikut arahan pemimpin, T" begitulah katanya lembut dan penuh sopan. Nada cakapnya yang selalu bebunga sedih menyebabkan hati jadi terkedu.

Tidak nampak yang beliau ralat dengan cadangan itu. Walaupun beliau tahu kehidupan di lokasi baru - tanah huma tidak semudah yang dilalui di tanah KSK, tetapi ia bukan sebab untuk beliau menolak atau berdalih, jauh sekali merajuk sebaliknya itu dijadikan cabaran dalam dia berpolitik.
Baginya dia telah menjadikan dirinya sebagai panglima yang sedia menurut arahan demi perjuangan.

Saya yakin dan percaya juga dengan perwatakan dan sejuring hatinya yang saya kenali beliau bukan seorang yang tahu mendesak dan berhajat menyusahkan parti. Ketulusan Salahuddin dalam perjuangan tercermin pada raut wajahnya yang jernih dan tenang.

Ini terbukti sebagai Naib Presiden beliau berhak untuk memperjuangkan dirinya untuk bertanding di mana-mana sahaja. Namun itu nampak tidak pernah digunakan untuk kepentingan peribadi. Sebaliknya kedudukan sebagai Naib Presiden banyak digunakan untuk memperjuangkan nasib kawan-kawannya atau menjadi jambatan mengharmonikan keadaan dalam parti.

Apa yang berlaku di Kedah - pergelutan di antara Pahkrorazi Zawawi dengan Azizan Razak adalah bukti macam mana komitmen dan peranan diaminakn oleh Salahuddin. Apabila menyedari pergelutan semakin panas dan tiada usaha menanganinya maka beliau telah mengambil inisiatif menjadi orang tua memperjudikan dirinya demi kebaikan parti menangani isu itu.

Dalam hal ini Salahuddin telah menguji dirinya sendiri. Cuba kalau inisiatif itu tidak menjadi ia boleh dianggap beliau mencari fasal dan akan meletakkan dirinya sebagai pemimpin yang gagal. Namun tanggungjawab itu diambil menunjukkan Salahuddin seorang yang memiliki iltizam yang kuat dan meletakkan kepentingan parti mendahului kepentingan dirinya. Alhamdulilahpergelutan di Kedah itu selesai dengan jaya.

Apa yang berlaku dan dilakukan Salahuddin sewajarnya diteladani oleh individu tertentu terutamanya oleh mereka yang merasakan diri mereka tidak dilayan dengan adil menjelang pilihan raya ini. Mereka yang akan tidak diletakkan bertanding kerana sebab-sebab tertentu ataupun dipindah kawasan kerana sebab-sebab tertentu juga perlu malu dengan Salahuddin.

Akurlah taatilah keputusan parti. Kenapa kita begitu sukar untuk menerima pandangan parti? Kalau Salahuddin boleh dengan senang berangkat ke Johor meninggalkan tanah KSK yang sudah dimajui, pokok sudah berbuah dan rakyat sudah sebati dengannya, kenapa tidak dengan kita? Seorang pejuang tidak boleh penakut dan terlalu hipokrasi.

Berjiwa besarlah seperti Salalhuddin. Kenapa kita merasa susah untuk akur dengan keputusan parti sebab kita merasakan apa yang menjadi milik kita itu adalah hak kita. Sedangkan apa-apa yang kita rasai itu dan nikmati itu hanya pinjaman sahaja. Hakikatnya kuasa, jawatan yang dipikul oleh seseorang wakil rakyat itu bukan hak mereka tetapi hak rakyat. Jadi kenapa harus gentar dan merasa sedih atas pertukaran atau pengunduran kita.

Jika kita benar-benar hebat letaklah di mana-mana pun kita tetap hebat, bak kata pepatah kalau benih yang baik lempar ke laut menjadi pulau lempar ke lembah menjadi gunung.http://www.msomelayu.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment