SRI WANI ketika hadir mendengar permohonan injuksinya di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, semalam. |
Mohon perintah data diri tidak disebar
KUALA LUMPUR: Pengusaha butik kecantikan, Sri Wani Choo Abdullah yang disyaki suaminya beliau seorang lelaki, memohon meminda perintah injunksi sebelah pihak terhadap dua madunya di Mahkamah Tinggi Syariah semalam, dengan menambah nama suaminya, Dr Bahrom Sanugi.
Dalam prosiding semalam, Sri Wani, 37, membuat permohonan itu bagi menghalang responden iaitu dua madu dan suaminya, Bahrom, 61, yang juga bekas dekan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), menyebarkan maklumat berhubung dirinya kepada media.
Sri Wani yang tidak diwakili peguam memberitahu mahkamah pihak media menyiarkan lokasi tempat tinggal dan butiknya, yang boleh membahayakan dirinya.
“Mengapa sebarkan kepada pihak media? Ramai wartawan mengekori saya dan saya tidak boleh keluar,” katanya.
Sri Wani berkata, beliau juga sudah membuat laporan polis mengenai perkara itu.
Hakim Syarie Abdul Walid Abu Hassan memerintahkan Sri Wani membuat pindaan itu secara bertulis dan memasukkannya dalam afidavit permohonan dalam tempoh seminggu, manakala dua minggu bagi responden menjawabnya.
Baru-baru ini, Bahrom memfailkan permohonan membubarkan pernikahan mereka di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini, apabila mengesyaki Sri Wani adalah lelaki berdasarkan penemuan surat beranak yang menunjukkan beliau seorang lelaki.
Permohonan itu dikemukakan Bahrom pada 17 Januari lalu, selepas mendapat arahan daripada Jabatan Agama Islam Daerah Gombak pada 23 November 2010 supaya berpisah sementara dengan Sri Wani.
Semalam, Abdul Walid menetapkan 17 Mei ini untuk mendengar permohonan injunksi Sri Wani.
No comments:
Post a Comment