Saturday, April 21, 2012

Sarawak paling ramai miskin tegar

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:


SUNGAI PETANI 20 April - Sarawak mempunyai penduduk bandar miskin tegar paling ramai berbanding negeri-negeri lain.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M. Saravanan berkata, berdasarkan semakan data e-Kasih sehingga 9 April lalu, negeri Bumi Kenyalang itu mencatatkan jumlah penduduk bandar miskin tegar seramai 3,672 orang, diikuti Sabah sebanyak 2,766 orang.
Beliau berkata, di Semenanjung Malaysia, Kelantan mempunyai penduduk bandar miskin tegar tertinggi iaitu seramai 1,649 orang sementara Selangor pula seramai 999 orang.
"Negeri-negeri lain jumlahnya tidak begitu ketara. Wilayah Persekutuan Putrajaya pula paling rendah kerana mempunyai hanya seorang ketua isi rumah yang miskin tegar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Ziarah Kesejahteraan Bandar peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, di sini hari ini.
Hadir sama ialah Penyelaras Parlimen Merbok, Datuk Tajul Urus Md. Zain dan Penyelaras DUN Bukit Selambau, M.L. Maran.
Saravanan berkata, bagi memastikan jumlah penduduk miskin di bandar berkurangan, kerajaan melalui kementerian telah memperkemaskan strategi Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB).
Katanya, antara langkah yang diambil adalah memberi fokus kepada usaha menambah pendapatan kepada keluarga miskin selain projek peningkatan kualiti hidup.
"Bantuan dan projek yang dilaksanakan mengambil kira aspek perumahan dan penjanaan pendapatan. Dalam hal ini, bantuan sewa rumah sebanyak RM1,488 sebulan diberikan kepada setiap keluarga miskin tegar yang menyewa di bandar," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM259,700 untuk 26 ketua isi rumah miskin tegar di kawasan DUN Bukit Selambau hari ini.
Katanya, jumlah tersebut meliputi bantuan bina rumah baru, baik pulih rumah, peralatan perniagaan, kesihatan dan bantuan makanan serta wang tunai.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment