Datuk Dr Hasan Ali
PETALING JAYA: Bekas EXCO Selangor, Datuk Dr Hasan Ali semalam mendedahkan kandungan video pengakuan sepasang suami isteri yang mendakwa dimurtadkan oleh gerakan Kristianisasi yang bergerak aktif di negara ini. Video ditayangkan dalam dua versi, iaitu 16 minit dan 42 minit kepada sekumpulan wakil media di rumahnya di sini, memaparkan pasangan itu menceritakan pengalaman mereka digula-gulakan dengan pelbagai bantuan sebelum dimurtadkan menerusi upacara pembaptisan, selain pengakuan seorang lelaki berusia 27 tahun yang diIslamkan semula dengan mengucap dua kalimah syahadah.
Dalam pendedahannya, lelaki itu yang dikenali sebagai Ramli Abdullah, 47 (bukan nama sebenar), mendakwa dibaptiskan di sebuah pangsapuri di ibu negara dengan memasuki kolam renang sebagai upacara simbolik, selepas diyakinkan oleh dua mubaligh Kristian dari Australia bahawa beliau manusia yang berdosa dan satu-satunya jalan untuk masuk ke syurga adalah menerima ajaran agama itu.
“Mereka kemudian memberi saya tempat tinggal dan menaja pengajian saya ke seberang laut bagi memperoleh sijil, sebelum kembali semula ke Malaysia dan bekerja dengan mereka.
“Saya juga diminta tidak menukar nama (kepada nama Kristian) kerana ia didakwa adalah senjata saya serta tidak mahu saya lupa bahawa saya seorang Melayu dan beragama Islam,” katanya.
Ramli berkata, beliau adalah antara orang yang terbabit dalam proses penterjemahan Bible daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu dan pernah bertemu hampir 400 orang Islam yang murtad dari seluruh negara, termasuk mereka yang masih mengamalkan cara hidup Islam dan mereka yang sudah meninggalkan agama itu.
Isteri Ramli yang dikenali sebagai Zakiah Musa, 42, berkata pengalamannya bersama ibu tunggal menunjukkan golongan itu mudah terpengaruh dengan pelbagai bantuan ditawarkan kumpulan Kristian, selain pendekatan lemah lembut yang digunakan mereka untuk memikat ibu tunggal.
Sementara itu, Hasan berharap usaha beliau melalui Unit Selamatkan Akidah (USA) tidak dipandang remeh dan membuka jalan kepada usaha lebih besar menangani isu murtad di kalangan orang Islam.
“Ini adalah satu permulaan yang baik bagi mendapatkan gambaran berfakta mengenai gerakan Kristianisasi yang selama ini sering dinafikan dan diremehkan pihak yang berkepentingan,” katanya.
Hasan turut membidas Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abd Rani Osman yang disifatkan beliau sebagai parasit dalam PAS kerana mendakwa pendedahannya mengenai isu murtad tidak penting, sebaliknya isu pengundi hantu dan rasuah perlu diberi keutamaan.
“Inilah jenis pemimpin yang ada dalam PAS dan pemimpin seperti inilah yang perlu disingkirkan,” katanya.
No comments:
Post a Comment