Wednesday, April 11, 2012

Zaini dijangka Gabenor Aceh

Foto


Foto
IRWANDI dan isteri, Darwati A Gani ceria selepas mengundi.





Tinjauan awal tak rasmi dapati penyandang jawatan ketinggalan jauh

BANDA ACEH: Bekas anggota kanan Gerakan Aceh Merdeka (GAM) yang bertindak sebagai Menteri Luar, Zaini Abdullah, mendahului calon lain dalam kiraan awal tidak rasmi undi pilihan raya gabenor wilayah itu yang berlangsung dalam keadaan aman kelmarin.
Zaini yang tinggal dalam buangan di Sweden ketika konflik berdarah di Aceh tamat pada 2005, memperoleh 54.4 peratus sokongan undi, lapor Pusat Tinjauan Indonesia (LSI), yang memantau pilihan raya itu.
Keseluruhannya, tiada kejadian serius tetapi kami menahan empat orang di Lhokseumawe dan Pidie kerana dituduh mengugut anggota pasukan kempen calon lain. - Iskandar Hasan, Ketua Polis Aceh
Pesaing rapat Zaini, Irwandi Yusuf, yang juga bekas ketua perisik GAM, berada di tempat kedua dengan sokongan undi sebanyak 29.88 peratus. Suruhanjaya Pilihan Raya Bebas Aceh (KIP) akan mengumumkan keputusan rasmi minggu depan.

Sejak Disember lalu, penduduk Aceh berpecah berikutan perbalahan antara Zaini dan Irwandi, yang dikatakan punca menyebabkan kes ugutan dan tembak menembak berlaku.

Kemungkinan keganasan meletus dikhuatiri berlaku ketika pilihan raya berlangsung kerana bekas pemisah GAM berpecah kepada yang menyokong Zaini atau Irwandi.

“Penganalisis dan penduduk Jakarta melabel Aceh sebagai tempat berisiko tetapi proses pilihan raya kali ini terbukti berbeza,” kata Ketua Polis Aceh, Inspektor Jeneral Iskandar Hasan. 
Penganalisis keselamatan percaya pilihan raya ini adalah ujian bagi Aceh selepas menamatkan konflik lebih 30 tahun yang meragut lebih 17,000 nyawa. Aceh juga memerlukan usaha pembinaan semula selepas dilanda tsunami, sebahagian besarnya menerusi bantuan antarabangsa.

Disebabkan beberapa kejadian tembakan itu, pelabur masih menganggap Aceh tempat berisiko untuk menjalankan perniagaan. Ia bertentangan dengan keadaan di wilayah itu yang aman sejak perjanjian damai pada 2005. Aceh juga kaya dengan minyak, gas, bijih besi dan nikal.

Polis juga tidak menerima sebarang laporan keganasan di wilayah itu dengan pengundi kelihatan selesa muncul di pusat pengundian.

“Keseluruhannya, tiada kejadian serius tetapi kami menahan empat orang di Lhokseumawe dan Pidie kerana dituduh mengugut anggota pasukan kempen calon lain,” kata Iskandar.

Pilihan raya diadakan serentak untuk melantik gabenor, timbalannya dan 17 datuk bandar.

Ia adalah pilihan raya secara langsung kedua di Aceh sejak perjanjian dalam Helsinki pada tahun 2005.

Pilihan raya kali pertama diadakan pada tahun 2006 untuk melantik gabenor dan 19 pemimpin tempatan.

“Pilihan raya sepatutnya menjadi cara menyatukan penduduk Aceh. Kerajaan pusat berharap parti yang kalah dapat menerima kekalahan mereka,” kata ketua pengarah autonomi Kementerian Dalam Negeri, Djohermansyah Djohan.

Penganalisis politik, Fachri Ali, dari Universiti Indonesia berkata kemenangan awal Zaini menunjukkan penduduk Aceh masih amat menghormati calon bekas pejuang GAM.

“Bekas pemisah GAM adalah kuasa politik di wilayah itu, dengan rangkaian tersusun dan orang yang setia. Kini mereka memberikan mandat kepada Zaini,” katanya. – Agensi

No comments:

Post a Comment