SHAH ALAM - Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) menyifatkan tindakan kerajaan memberi durian runtuh kepada peneroka sebagai helah politik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang, supaya peneroka menyuarakan sokongan terhadap parti pemerintah.
Presidennya, Mazlan Aliman berkata, ini adalah sandiwara kerajaan kerana bimbang akan senario politik yang melanda negara pada masa kini.
Dakwanya, setelah 55 tahun Felda ditubuhkan, baru sekarang kerajaan menghargai jasa peneroka termasuk bonus dua bulan setengah gaji kepada petugas dan pegawai Felda.
“Saya lihat ini adalah langkah kerajaan dalam menghadapi pilihan raya, pelbagai imbuhan diberikan kepada peneroka agar mereka memperoleh sokongan.
“Selain itu, Perdana Menteri harus menyatakan daripada mana sumber datangnya wang sebanyak itu yang diberikan kepada peneroka sebagai durian runtuh,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mazlan berkata, Anak tidak pernah menolak sebarang pemberian atau insentif yang diberikan oleh kerajaan kerana secara tidak langsung ia dapat meringankan beban para peneroka.
“Anak menyambut baik pemberian durian runtuh oleh kerajaan, bagaimanapun kami bimbang dengan penyenaraian itu. Sekiranya harga saham jatuh, siapa yang akan bertanggungjawab?,” katanya.
Menurutnya, apakah jaminan kerajaan bahawa saham Felda Global Ventures Holdings (FGVH) tidak akan menerima nasib sama, seperti berlaku semasa penubuhan Amanah Saham Negeri kerana semuanya bermasalah.
Menurutnya, Anak tidak mahu peneroka menanggung hutang sekiranya saham FGVH bermasalah. Selain itu, tiada sebarang penerangan diberikan, malah dokumen ditulis dalam Bahasa Inggeris ketika pemberian pinjaman saham kepada peneroka.
No comments:
Post a Comment