Abdul Aziz Mustafa,
28 Mei 2012
KUALA LUMPUR, 28 Mei: Para peneroka Felda hendaklah mendapatkan perintah mahkamah supaya mereka mendapat peruntukan saham yang benar-benar adil berikutan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH).
Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub (gambar) mengecam tindakan memperbodohkan para peneroka Felda dengan tindakan memperuntukkan 91 juta saham sahaja kepada mereka.
Malaysian Insider hari ini melaporkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed mempertahankan tindakan kerajaan memperuntukkan 11.5 peratus saham FGVH kepada pelabur-pelabur Bumiputera yang disokong oleh kerajaan.
PKR sebelum itu mempersoalkan tindakan kerajaan memperuntukkan 420 juta saham kepada firma-firma Bumiputera yang diluluskan oleh MITI sedangkan 120,000 peneroka Felda, yang sebelum itu dijanjikan dengan pendapatan yang lebih baik, hanya mendapat 2.5 peratus atau 91 juta saham sahaja.
Kakitangan Felda pula akan menerima 109 juta saham (tiga peratus) manakala pelabur-pelabur institusional seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perbadanan Nasional Berhad (PNB) diperuntukkan 1.5 biliuon saham FGVH.
"Amalan serong itu mesti dihentikan dan oleh kerana penyenaraian tidak boleh dihalang lagi, para peneroka mestilah mendapatkan perintah mahkamah bagi memastikan pembahagian peruntukan yang benar-benar adil, wajar dan saksama kepada mereka," kata Salahuddin.
Beliau mempersoalkan siapakah yang mendapat sebesar 420 juta saham FGVH.
"Adakah mereka syarikat-syarikat Umno? Adakah penyenaraian itu sebenarnya skim Umno buat duit untuk hadapi pilihan raya melalui syarikat-syarikat proksi?" katanya.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu mengingatkan, rakyat dan sebahagian peneroka serta keluarga mereka tidaklah bodoh untuk memahami apa yang sebenarnya berlaku.
"Cara pembahagian peruntukan itu menjadikan yang kaya bertambah kaya dan yang tidak berada terus di dalam keadaan sedemikian
"Terang-terangan para peneroka diperbodohkan," katanya.
Cara pembahagian itu juga, kata Salahuddin, bukan sahaja tidak menghargai penat jerih para peneroka yang membangukan Felda dengan keringat mereka sehingga sampai kepada tahapnya kini, malah terang-terangan menaniayai mereka.
Beliau juga menuntut MITI menyenaraikan firma dan Bumiputera manakah yang mendapat 420 juta saham FGVH itu.
"Kerajaan Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) pernah menyenaraikan nama syarikat yang mendapat permit AP.
"Kerajaan Najib mestilah membuktikan ia tidak lebih buruk dari kerajaan Pak Lah dan menyenaraikan firma dan Bumiputera manakah yang mendapat 420 juta saham FGVH itu," tegas Salahuddin.
No comments:
Post a Comment