Datuk Ibrahim Ali
Datuk Ibrahim Ali
KUALA LUMPUR – Datuk Ibrahim Ali mengesahkan akan mempertahankan kerusi Parlimen Pasir Pas pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Ibrahim yang memenangi kerusi itu pada Mac 2008 atas tiket Pas dan kemudian mengisytiharkan sebagai wakil rakyat Bebas berkata, terdapat permintaan daripada masyarakat di kawasan itu yang mahu beliau bertanding semula.

“Ada permintaan supaya saya mempertahankan kerusi Pasir Mas. Insya-Allah kalau panjang umur saya akan bertanding di situ pada PRU13 ini,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Keempat pertubuhan Jaringan Gerak Usaha Pasir Mas (Jaguh) di sini, malam tadi.

Ibrahim yang juga penaung Jaguh berkata, beliau bersyukur sepanjang berkhidmat di kawasan itu tiada perkara buruk berlaku.

“Saya bukan nak puji diri, tetapi Alhamdulillah rekod saya bersih, tiada isu moral dikaitkan dengan saya kerana saya sentiasa menjaga nama baik sebagai Ahli Parlimen Pasir Mas,” kata beliau yang juga Presiden Perkasa.

Hadir sama Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Datuk Zulkifli Noordin yang juga Naib Presiden Perkasa dan Presiden Jaguh, Zulkarnain Mat Junoh.

Terdahulu dalam ucapannya beliau berkata, kini terdapat hampir 400,000 rakyat Kelantan berhijrah mencari rezeki.

“Ini berlaku kerana di Kelantan kurangnya peluang pekerjaan walaupun negeri kita kaya dengan hasil mahsul dan ini berlaku akibat dari pertumbuhan ekonomi yang menyedihkan.

“Jadi saya minta ayuh kita lakukan transformasi politik pada PRU13 akan datang,” kata beliau di hadapan hampir 1,200 anak kelahiran Pasir Mas yang bekerja di Lembah Kelang.

Dalam perkembangan lain, Ibrahim turut bersetuju dengan langkah kerajaan Negeri Kelantan menuntut royalti minyak daripada Petronas.

“Saya menyokong tuntutan itu, tetapi isu ini sudah menjadi kes mahkamah dan saya enggan mengulas lanjut,” katanya.