GEORGETOWN – Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang menolak permohonan notis bantahan awal Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) terhadap kes dua beradik yang memohon pengisytiharan status agama mereka.
Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Othman Ibrahim berkata, mahkamah boleh mendengar kes itu dan mengarahkan pemohon iaitu Roslina Abdul Rashid dan adiknya, Rosli Abdul Rashid memasukkan pendaftar mualaf sebagai responden kedua.
Roslina dan Rosli, masing-masing berusia 30-an membuat permohonan itu pada akhir 2010.
Tuntutan pengisytiharan bahawa pemohon bukan lagi seorang beragama Islam adalah tertakluk di bawah Seksyen 61(3) (b)(x) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2004.
Di bawah enakmen itu mahkamah diberi kuasa untuk mendengar dan memutuskan semua tindakan serta prosiding membabitkan perisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi orang Islam.
Kedua-dua beradik diwakili peguam, Wan Faridulhadi Mohd Yusoff, manakala Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) diwakili peguam, Faizal Arif Tajul Ariffin.
Othman menetapkan 2 Julai depan untuk sebutan semula kes bagi memasukkan semua pindaan yang diarahkan oleh mahkamah. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment