Monday, May 14, 2012

Nama Noramfaizul diabadi di Memorial Wartawan AS

Nama Noramfaizul diabadi di Memorial Wartawan AS - Nasional - Sinar Harian:

Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor
Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor
KUALA LUMPUR- Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor, jurukamera televisyen Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) yang terbunuh semasa bertugas di Somalia tahun lepas menjadi wartawan Malaysia pertama diberi penghormatan oleh sebuah muzium khusus untuk  wartawan di Amerika Syarikat.

Nama Noramfaizul diukir pada arca kaca di memorial itu di dalam bangunan Newseum iaitu muzium yang dikhususkan untuk wartawan dan berita, terletak di Pennsylvania Avenue berhampiran bangunan Kongres Amerika Syarikat di Capitol Hill.

Nama Allahyarham juga boleh diakses di laman web muzium itu http://www.newseum.org .

Nama Noramfaizul diabadikan sebaris dengan 69 lagi petugas media dari seluruh dunia yang terkorban atau terbunuh semasa sedang berkhidmat atau menjalankan tugas liputan berita sepanjang tahun 2011.
Allahyarham Noramfaizul,39, terbunuh kerana terkena peluru sesat, semasa membuat liputan misi bantuan kemanusiaan anjuran Kelab Putra 1Malaysia bersama-sama sekumpulan wartawan Malaysia di Mogadishu pada 2 Sept tahun lepas.

Ketua Pengarang Bernama Datuk Yong Soo Heong berkata, “Kami berasa sungguh terharu atas dedikasi yang diberikan kepada Noramfaizul di Memorial Wartawan di Newseum ini. Pemergian beliau adalah amat mendukacitakan kerana ia berlaku semasa beliau sedang bertugas.

“Tetapi kami berasa bangga yang usaha beliau merakamkan peristiwa berlaku di Somalia tidaklah sia-sia kerana ini menunjukkan keamanan masih rapuh di sana,” kata Yong.
Menurutnya, sebagai wartawan mereka akan cuba sedaya upaya menjadi pencatat sejarah dan dalam tugas sedemikian ia mungkin dipenuhi bahaya atau risiko.

“Kami amat sukacita kerana Noramfaizul dilihat oleh pihak Memorial Wartawan layak diberi penghargaan atas usaha beraninya itu, dan saya amat berterima kasih kepada mereka yang terlibat dalam memberi penghormatan ini kepada beliau,” tambah Yong.

Memorial Wartawan ini setiap tahun akan memberi penghormatan kepada petugas-petugas media seperti wartawan, jurufoto, jurukamera televisyen, editor, hos berita radio atau televisyen dari seluruh dunia yang terkorban kerana melaksanakan tugas mereka pada tahun sebelumnya.

Sehingga ini, iaitu sejak memorial itu diwujudkan pada tahun 1837, sejumlah 2,084 nama wartawan, jurufoto, penyiar dan pegawai kanan berita yang telah terkorban atau terbunuh dicatatkan di memorial berkenaan.

Untuk tahun ini, nama Allahyarham Noramfaizul diabadikan sebaris dengan nama-nama petugas berita dari organisasi media besar seperti Al-Jazeera, BBC, Geo TV (Pakistan), Perbadanan Penyiaran Australia, European Pressphoto Agency, Getty Images, The London Post, La Prensa, Radio Free Europe dan Asia Times Online.

Dalam senarai tahun lepas, wartawan yang paling muda terbunuh ialah Luis Emanuel Ruiz Carrilo dari La Prensa, berusia 21 tahun, yang diculik dan dibunuh dipercayai oleh anggota kartel dadah di Mexico.

Wartawan paling tua terkorban ialah Paul Lockyer dari Australia, Rafik Tagi dari Azerbaijan dan Phamon Phonphanit dari Thailand, kesemuanya berusia 61 tahun.
Lockyer terkorban apabila helikopter yang naikinya terhempas, Rafik mati ditikam manakala Phamon terbunuh akibat terbakar ekoran serangan bom oleh puak pemisah Selatan Thailand di Sungei Golok.

Negara yang merekodkan paling ramai wartawan terbunuh ialah Iraq iaitu tujuh orang yang kebanyakannya mati akibat terkena serangan puak yang bertelingkah serta tujuh wartawan terkorban di Pakistan akibat pembunuhan dan letupan bom di tempat awam.

Semasa membuat pengumuman mengenai acara ini minggu lepas, Ketua Pegawai Eksekutif Newseum James C Duff berkata: “Mereka yang berani dari kalangan lelaki dan wanita yang nama mereka diabadikan di Memorial Wartawan ini mengingatkan kita bahawa hanya sedikit mengenai kebebasan akhbar yang sebenarnya bebas.”

“Setiap hari, wartawan di seluruh dunia berkejar untuk menjadi saksi, kadang kala hingga membahayakan diri, bagi mencatat draf sejarah yang pertama. Newseum begitu bangga memberi penghormatan kepada wartawan-wartawan ini yang telah berkorban nyawa demi mencari kebenaran,” katanya.

Senarai petugas media yang terkorban setiap tahun ini dikumpul oleh staf Newseum daripada maklumat yang diperoleh dari pelbagai pihak seperti Jawatankuasa Melindung Wartawan, Institut Akhbar Antarabangsa, Wartawan Tanpa Sempadan, Persekutuan Wartawan Antarabangsa dan dari laporan-laporan berita dan sumber-sumber lain. - Bernama

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment