Saturday, June 16, 2012

78 Orang Asli saman peguam yang tipu mereka





Harakahdaily,
16 Jun 2012
JOHOR BHARU: 78 Orang Asli akan menuntut tanggungjawab dan pembayaran balik wang pampasan sebanyak RM38 juta daripada peguam yang mengendalikan kes mereka sebelum ini yang mereka anggap sebagai pecah amanah.

Menurut kenyataan Pusat Prihatinan Orang Asli (COAC), kes ini akan dibicarakan Isnin ini Mahkamah Tinggi Johor Bahru.

Sebanyak tiga buah bas akan digunakan untuk membawa Orang Asli suku kaum Jakun ke Mahkamah Tinggi di Johor Bahru pada hari Isnin ini bagi memulakan tuntutan saman sivil bagi mengembalikan wang pampasan mereka daripada peguam yang menjadi pemegang amanah.

Pada tahun 1995, Mahkamah Tinggi Johor Bahru telah memutuskan bahawa 52 plaintif Orang Asli dari 3 perkampungan di kota tinggi akan dibayar sejumlah RM26.5 juta.

Ia berupa pampasan di atas kehilangan sumber hutan tradisional mereka akibat pembinaan empangan Linggiu (dimana pembinaan adalah untuk membekalkan air kepada singapura).

Walau bagaimanapun, dengan faedah yang bertambah, jumlah penghakiman meningkat kepada RM38 juta pada akhir proses mahkamah.

Orang Asli kini mendakwa bahawa telah berlaku pecah amanah dalam pengendalian dan penggunaan wang pampasan oleh peguam yang menjadi pemegang amanah dan menuntut tanggungjawab serta mengembalikan wang pampasan kepada mereka.

Peguam berkenaan juga baru-baru ini didakwa di Mahkamah Seksyen bagi kesalahan membuat pembayaran tidak sah dana amanah Orang Asli.

Orang Asli diwakili oleh Tetuan Ragumaren & Co.

Mahkamah Tinggi Johor Bahru akan mendengar kes tersebut bermula 18 sehingga 22 Jun 2012.

No comments:

Post a Comment