Thursday, July 5, 2012

"Baby hatch" dicadang diwujud di semua hospital kerajaan

"Baby hatch" dicadang diwujud di semua hospital kerajaan - Nasional - Sinar Harian:
PETALING JAYA - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bercadang mewujudkan pusat perlindungan bayi atau 'baby hatch' di setiap hospital kerajaan di seluruh negara.
   
Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KPWKM Harjeet Singh berkata ini adalah sebagai usaha dan komitmen berterusan kerajaan dalam memerangi kes pembuangan bayi terutamanya kelahiran di luar nikah.
   
"Inisiatif ini masih di peringkat perancangan, namun sebagai langkah permulaan, kita menjalankan perbincangan bersama pihak Kementerian Kesihatan bagi merealisasikan hasrat ini.
   
"Kita mahu hospital juga dapat berfungsi sebagai 'baby hatch' agar dapat menempatkan bayi dengan selamat untuk ibu-ibu terdesak yang tidak menginginkan bayi mereka," katanya kepada pemberita pada konvesyen 'Katakan Tidak kepada Pembuangan Bayi: Nyawa di Tangan Kita' di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid di sini, hari ini.
   
Sehubungan itu, katanya KPWKM dan Kementerian Kesihatan akan menganjurkan bengkel pada Oktober depan, mengenai penubuhan pusat perlidungan bayi.
   
Harjeet berkata pada masa ini, terdapat sembilan 'baby hatch' di seluruh negara termasuk satu di sebuah hospital swasta di Ipoh, Perak dan satu di bawah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) OrphanCARE di Petaling Jaya, yang juga perintis projek itu.
   
Beliau turut meminta remaja perempuan dan wanita yang terlanjur hingga melahirkan anak luar nikah supaya tidak membuang bayi itu sebaliknya menyerahkannya kepada pusat perlindungan lain.
   
"Di bawah kementerian, kita mempunyai 55 institusi kebajikan seperti rumah perlindungan kanak-kanak dan Sekolah Tunas Bakti, 104 buah pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah serta 56 klinik Nur Sejahtera yang bersedia menerima bayi-bayi ini.
   
"Mereka juga boleh menghubungi Talian Nur di hotline 15999 yang lebih privasi sekiranya mereka menghadapi masalah anak luar nikah, terlanjur, mahukan kaunseling dan maklumat," katanya.
   
Beliau berkata statistik Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menunjukkan sebanyak 627 kes pembuangan bayi dilaporkan sejak 1995 hingga Jun lepas di seluruh negara.

Dari Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak 31 kes pembuangan bayi direkodkan di mana 19 daripada bayi itu ditemui mati, sepuluh selamat dan dua lagi masih di hospital.
   
Bagi 2012, Harjeet berkata Selangor dan Sabah mencatatkan kes tertinggi dengan masing-masing enam kes, Johor (4), Kedah (3), Sarawak (3), Pulau Pinang, Perak dan Pahang masing-masing dua kes manakala satu kes masing-masing di Kuala Lumpur, Terengganu dan Kelantan.
   
"Ini bukan jumlah menyeluruh, ini jumlah kes yang hanya dilaporkan dan dijumpai sahaja.. justeru kerajaan memandang serius isu pembuangan bayi di negara ini yang semakin menjadi isu sosial dan membimbangkan," katanya.
   
Beliau berkata statistik menunjukkan sebanyak 67 kes buang bayi dilaporkan pada 2005, 2006 (83), 2007 (76), 2008 (102), 2009 (79), 2010 (91) dan 2011 (98).
   
Konvensyen anjuran bersama oleh KPWKM, Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM) dan Sunway International Business &  Management Sdn Bhd dihadiri kira-kira 1,000 peserta dari kerajaan, badan bukan kerajaan, pelajar universiti dan sekolah menengah serta tenaga pengajar dan pihak akademik.
   
Konvensyen itu dianjurkan bagi memupuk kesedaran terhadap kesihatan reproduktif dan kesan negatif kehamilan dan kelahiran anak luar nikah serta mencegah masalah pembuangan bayi terutamanya di kalangan generasi muda. - Bernama

No comments:

Post a Comment