Perunding rambut jadi mangsa kad kredit - Pahang - Sinar Harian:
KUANTAN - Seorang perunding rambut terkejut apabila kad kredit yang dimohonnya Jun tahun lalu adalah milik individu lain yang tidak dikenali.
Ng Suk Yee, 33, berkata, dia memohon kad kredit berkenaan melalui talian bantuan kerana berminat dengan tawaran yang diberikan.
Bagaimana pun, selepas seminggu memperoleh kad berkenaan melalui pos, dia mendapati berlaku transaksi membabitkan nilai RM1,748.85. “Saya terkejut kerana tidak pernah berbuat demikian dan lebih mustahil apabila ia dilakukan di luar kawasan yang saya diami iaitu di Klang.
“Melalui semakan yang dibuat, berlaku tiga transaksi dan ia tidak masuk akal,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Pusat Khidmat Parlimen Kuantan.
Turut hadir, Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuantan, Sim Chon Siang dan Norbaini Abu Bakar. Suk Yee berkata, keliru dengan situasi itu, dia menghubungi pihak bank sebelum membuat aduan bertulis.
Namun, dia kecewa apabila tidak mendapat respons seperti yang diharapkan apabila dua bulan selepas itu, dia menerima surat daripada bank memintanya menjelaskan jumlah pemindahan wang terbabit.
"Saya membuat laporan polis pada September tahun lalu kerana saya tidak perlu membayarnya memandangkan saya tidak pernah melakukan transaksi berkenaan.
“Malah pihak bank pula tidak memberi kerjasama yang baik dan tidak membantu saya menyelesaikan masalah itu,” katanya.
Suk Yee berkata, dia turut menghantar salinan laporan polis dan borang aduan namun masih tidak mendapat perhatian pihak bank.
Sementara itu, Chon Siang berkata, dia menerima aduan daripada Suk Yee pada awal Jun lalu dan cuba membantunya menyelesaikan masalah yang dialami wanita itu.
Katanya, berdasarkan maklumat transaksi yang dilakukan, dia menghubungi syarikat insurans untuk mendapatkan info individu.
“Saya mendapat maklumat bahawa transaksi itu dilakukan oleh seorang individu lain.
“Jadi, kita membuat kesimpulan bahawa cip makllumat kad kredit yang dimiliki Suk Yee salah,” katanya. Katanya, kesilapan demikian tidak wajar berlaku dan pihak bank sepatutnya lebih bertanggungjawab apabila pelanggan berdepan masalah ini.
No comments:
Post a Comment