Lapan banduan bersyukur dibebaskan sempena Ramadan
Kluang: "Alhamdulillah, saya seperti mendapat 'nyawa kedua' apabila dibebaskan selepas 26 tahun menjalani hukuman," kata Pak Ali yang dibebaskan selepas mendapat pengampunan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar. Pak Ali, 60, (bukan nama sebenar) adalah antara lapan banduan yang mendapat pengampunan Sultan Johor sempena Ramadan, tahun ini.
Katanya, dia pernah 'patah jiwa' dan putus harapan selepas rayuan kali ketiganya ditolak sehingga pernah terfikir untuk menamatkan saja hidupnya.
"Namun, kekuatan diri kembali apabila kakak yang tidak jemu datang melawat memberi semangat supaya tidak lagi menambah dosa diri ini.
"Hari ini saya seperti mati hidup semula dan seperti bayi yang baru dilahirkan semula. Pada saat saya mula menerima hakikat akan berdepan hukuman mati pada bila-bila masa, pengampunan ini memberi harapan dan peluang yang tidak pernah disangka.
"Saya akan tebus semula setiap kesilapan dan kesalahan dengan menjadi manusia paling bersyukur serta berjanji tidak akan mensia-siakan 'nyawa kedua' ini," katanya ketika ditemui di Penjara Kluang, di sini, semalam.
Pak Ali yang masih bujang, didapati bersalah mengedar 6.71 kilogram ganja dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 15 Februari 1992 mengikut Seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Saya bercadang meneruskan minat dalam pembuatan perabot dan kraftangan dengan membuka bengkel sendiri, malah mahu melatih anak muda dalam bidang ini supaya hidup mereka tidak tersasar," katanya.
Sementara itu, banduan warga Singapura yang hanya dikenali sebagai Pak Min, 57, yang dikenakan hukuman penjara seumur hidup ketika berusia 18 tahun mengikut Seksyen 5 Akta Senjata Api, bersyukur apabila mendapat pengampunan selepas 38 tahun dipenjara.
"Saya sudah tinggal di penjara sejak 38 tahun lalu ketika baru berusia 18 tahun. Saya tidak tahu bagaimana mahu menyatakan perasaan saya, ia bercampur antara gembira, hiba, syukur dan insaf.
"Sebelum ini saya adalah manusia yang liar, buas dan jahat. Namun selepas dikenakan hukuman penjara sepanjang hayat, baru saya sedar. Apa yang paling dikesalkan adalah tidak berpeluang memohon ampun dengan ibu bapa yang sudah meninggal dunia," katanya.
Pak Min kini bercadang kembali bertemu adik-beradiknya di Singapura dan membuka kedai jahitan dengan menggunakan sepenuhnya kemahiran ketika mendapat latihan di penjara.
Dalam pada itu, Pengarah Penjara Kluang, Mat Rasid Jahlil, berkata pembebasan tiga banduan Penjara Kluang termasuk seorang banduan akhir itu mencipta sejarah penjara di Malaysia.
"Ini juga mencipta sejarah di negeri ini berikutan ini adalah kali pertama Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar memberi pengampunan baginda selepas seingat saya amalan begini tidak dilakukan berbelas-belas tahun lamanya," katanya.
Keluar penjara penuh gaya berbaju Melayu
Kajang: Ramadan 1980 menjadi titik hitam bagi dirinya apabila ditahan selepas melakukan jenayah bersenjata dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup.
Semalam, selepas 32 tahun berlalu, Ramadan jugalah memberi sinar baru kepada banduan yang hanya dikenali sebagai Mil, 58, apabila dibebaskan dengan pengampunan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.
Berasal dari Batu Pahat, Mil lengkap berbaju Melayu biru lembut yang dijahitnya di Penjara Kajang disambut kaum keluarga, termasuk cucu saudara dengan linangan air mata.
Suasana pilu menyelubungi pekarangan penjara kerana Mil dapat melepaskan kerinduan dengan memeluk adik-beradiknya tanpa ada tembok yang memisahkan mereka.
Bekas kelindan lori yang berusia 26 tahun ketika ditahan di rumahnya di Batu Pahat, tidak dapat menahan kesedihannya ketika melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Sultan Johor.
"Tiada perkataan yang boleh digambarkan perasaan saya sekarang ini. Saya sangat gembira dan berharap Ramadan kali ini memberi sinar baru. Inilah hadiah terbaik yang saya terima. Saya mahu pulang ke rumah dan berhari raya bersama keluarga tanpa ada halangan lagi," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Mil yang masih bujang berkata, dia mahu memeluk dan mencium ibunya yang tidak pernah jemu menyokong dan melawatnya sehinggalah keadaan tidak mengizinkan kerana terlalu uzur.
"Emak sudah uzur. Jika tidak pasti sudah berada di sini. Beliau pernah berkata, sudah 30 tahun Mil, emak balik dulu. Hari ini, penantian emak tidak sia-sia," katanya.
Anak kelima daripada 10 beradik itu berkata, setiap hari dia tidak pernah berhenti berdoa dan berharap semoga mendapat pengampunan selepas beberapa kali rayuannya sebelum ini gagal.
Diminta menceritakan mengenai kesalahan dilakukan dulu, Mil berkata:" Biarlah menjadi sejarah dan pengajaran kepada saya. Ia akibat terlalu mengikut jiwa muda,".
Mil yang masih belum mempunyai sebarang perancangan masa depannya berharap dapat menyesuaikan diri selepas 32 tahun 'terkurung'.
Sementara itu, bekas banduan warga Indonesia yang turut dibebaskan dari Penjara Kajang yang hanya dikenali sebagai Pak Din, 58, turut melahirkan rasa syukur kerana dibebaskan dengan pengampunan.
"Saya tidak pernah terfikir yang akan mendapat pengampunan. Saya reda sekiranya menghembuskan nafas di sini. Terima kasih Sultan Johor," katanya yang terpaksa menceraikan isterinya selepas meringkuk dalam penjara.
Pak Din yang ditahan sejak 1982 kerana melakukan jenayah bersenjata, berkata pengampunan itu membolehkannya menghabiskan sisa hidupnya di tanah air sendiri.
No comments:
Post a Comment