Sunday, October 21, 2012

Lebih 100 lagi terbunuh di Syria



DAMSYIK 23 Okt. - Lebih 100 orang lagi terbunuh dalam pertempuran di seluruh Syria hari ini, tiga hari menjelang sambutan Aidiladha Jumaat ini.
Pengarah Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia bagi Syria, Rami Abdel Rahman berkata, pesawat tentera kerajaan hari ini terus membedil sebuah pekan di Aleppo.
Katanya, pertempuran turut berlaku di beberapa bandar lain di seluruh negara, walaupun wakil khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Liga Arab, Lakhdar Brahimi telah mengemukakan usul gencatan senjata kepada tentera dan pemberontak.
"Tiada tanda-tanda menunjukkan sama ada pihak tentera atau pemberontak mahu meletakkan senjata.
"Laporan kematian akibat pertempuran di seluruh negara hari ini melebihi 100 orang," katanya.
Katanya, pertempuran terus berlaku di bumi Syria, hari ini ketika PBB menegaskan akan mengerahkan satu pasukan pengaman, sekiranya perjanjian damai yang diusulkan utusan khas pertubuhan itu menemui jalan buntu.
Dalam perkembangan lain, Presiden Bashar al-Assad mengeluarkan kenyataan untuk memberi pengampunan selewat-lewatnya hari ini kepada mereka yang melakukan kesalahan di Syria.
Bagaimanapun stesen televisyen tempatan yang memetik kenyataan Bashar itu melaporkan, pengampunan terbabit tidak akan diberikan kepada kumpulan pemberontak.
"Bashar mengarahkan pengampunan beramai-ramai sebelum 23 Oktober (hari ini) kecuali bagi mereka yang melakukan keganasan, istilah yang merujuk kepada pemberontak," jelas kenyataan tersebut.
Sementara itu, Ketua Pasukan Pengaman PBB, Herve Ladsous berkata, PBB menaruh harapan kedua-dua pihak bermusuh akan mematuhi persetujuan melaksanakan gencatan senjata selama empat hari bermula Jumaat ini.
Jelasnya, PBB mempunyai pelan untuk mengerahkan pasukan pengaman di Syria sekiranya gencatan senjata gagal dipatuhi.
"Kami (PBB) bersedia untuk mengerahkan pasukan pengaman ke Syria jika perlu dan mandat diluluskan oleh 15 anggota Majlis Keselamatan PBB," katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121024/lu_01/Lebih-100-lagi-terbunuh-di-Syria#ixzz2AKJpCadn
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment