Harakahdaily, | 01 Dis 2012 |
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri yang sepatutnya menjawab dakwaan yang dibuat ahli perniagaan Deepak Jaikishan di dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Umno hari ini atas tiga sebab.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyatakan demikian sebagai respons kepada Menteri Pertahanan yang juga Naib Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi yang mengatakan akan menjawab dakwaan Deepak Jaikishan terhadap keluarga Najib yang turut melibatkan kes pembunuhan berprofil tinggi seorang warga Mongolia Altantuya Shaariibuu.
Justeru, tegas Ahli Parlimen Ipoh Timur itu bahawa sepatutnya Najib yang menjawab dakwaan itu, bukannya Zahid.
Pertama, katanya dakwaan Deepak melibatkan keluarga Najib, yang mana dia telah membayar sejumlah wang yang tidak didedahkan untuk campur tangan Perdana Menteri bagi membolehkannya menjadi satu pihak dalam satu projek Kementerian Pertahanan pada 2005 yang bernilai RM100 juta sewaktu Najib merupakan Menteri Pertahanan – membuat perjanjian dengan syarikat ketua Wanita Umno Selangor yang membolehkannya menyertai sebagai pihak ketiga.
“Memandangkan Najib bukan sahaja hadir tetapi juga mengepalai Umno, beliau sepatutnya menjawab kerana apa sahaja yang dikatakan Zahid tidak lebih sekadar khabar angin dan tidak mempunyai kewibawaan dan legitimasi,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Kedua, kata Lim, hubung kait Deepak dengan kes pembunuhan berprofil tinggi warga Mongolia Altantuya Shaariibuu.
Katanya, Deepek telah meluahkan kekesalan melibatkan diri dalam rancangan membuatkan penyiasat persendirian P Balasubramaniam membuat Pengakuan Bersumpah kedua, menarik balik Pengakuan Bersumpah pertama yang mengaitkan Najib dengan pembunuhan warga Mongolia Altantuya.
Menurutnya, di dalam satu wawancara Deepak mengatakan yang beliau terlibat dalam kes Bala bagi membantu “keluarga Perdana Menteri”.
“Sekali lagi, jawapan Zahid terhadap dakwaan Deepak tidak akan memuaskan kerana hanya Najib yang sesuai menjawab dengan berwibawa semua dakwaan itu,” ujarnya.
Ketiga, katanya ia merupakan batu uji kepada Ucapan Dasar Presiden Umno kelmarin yang menyatakan bahawa Pakatan Rakyat tidak sepatutnya diberikan peluang untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 memandangkan Umno Barisan Nasional mampu membawa kejayaan besar memerintah Malaysia sejak lima dekad lalu – salah satunya adalah “keampuhan institusi negara”.
Beliau berkata, keburukan skandal Deepak/Bala/Altantuya adalah pengakuan memalukan, bukan kepada kejayaan tetapi korupsi dan memusnahkan “keampuhan institusi negara” memandangkan Malaysia tidak mungkin akan terjerumus ke keadaan buruk dalam kes pembunuhan Altantuya sekiranya pelbagai institusi negara, sama ada polis, badan Kehakiman, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan akhbar Malaysia memelihara dan menegakkan integriti, kebebasan dan profesionalisme mereka.
Sehubungan itu, Lim mempersoalkan adakah Najib bersedia menyangkal tuduhan-tuduhan terhadapnya, kerajaannya dan negara dengan menyerahkan dirinya untuk satu siasatan awam yang menyeluruh dan bebas terhadap skandal Deepak/Bala/Altantuya dan mengumumkannya pada penggulungan Perhimpunan Agung Umno hari ini.
Bagi Lim, sekiranya Najib bersedia menyerahkan dirinya untuk satu siasatan awam yang menyeluruh dan bebas ke atas skandal Deepak/Bala/Altantuya, maka permohonan maafnya di dalam Ucapan Dasarnya bagi pihak kepimpinan Umno atas sebarang “kesalahan” atau “kekhilafan” adalah jujur.
“Jika tidak, permohonan maafnya tidak lebih daripada sekadar retorik,” katanya lagi.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment