Sunday, January 13, 2013

Obama janji cepat serah kawalan di Afghanistan



Hamid Karzai (kiri) mengadakan sidang media bersama Barack Obama di White House, Washington, kelmarin. - REUTERS
WASHINGTON 12 Jan. - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama berjanji mempercepatkan urusan menyerahkan kepimpinan ke atas kawalan keselamatan di Afghanistan daripada tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) kepada tentera negara itu bermula musim bunga ini.
Selepas berunding dengan Presiden Afghanistan, Hamid Karzai semalam, Obama berkata, tentera NATO akan hanya memainkan peranan terhad di negara itu selepas tahun depan, sambil menegaskan bahawa Washington telah mencapai sasaran utamanya di negara itu untuk menghapuskan al-Qaeda.
"Bermula musim bunga ini, tentera kami mempunyai misi berbeza di Afghanistan bagi mengadakan latihan, nasihat serta membantu tentera negara itu. Ia menjadi detik bersejarah dan satu lagi langkah ke arah kedaulatan penuh Afghanistan," katanya pada satu sidang media.
NATO, sebelum ini merancang meminta bantuan pasukan tentera sekutu bagi mengepalai usaha menentang Taliban mulai pertengahan tahun ini.
Obama, bagaimanapun menegaskan bahawa tentera AS tetap akan bersama tentera Afghanistan dalam menentang keganasan.
Karzai pula berkata, bermula musim bunga ini tentera Afghanistan akan bertanggungjawab penuh menyediakan kawalan keselamatan dan perlindungan kepada penduduk Afghanistan.
"Tentera antarabangsa dan tentera AS tidak akan ada lagi di negara kita. Ia akan menjadi tugas tentera Afghanistan terhadap keselamatan dan melindungi rakyat negara ini," katanya.
Obama merancang menarik keluar kira-kira 66,000 tentera AS di Afghanistan.
Beliau memberi amaran kepada Karzai, agar menerima perjanjian keselamatan, yang masih dalam perbincangan, yang memberi kekebalan kepada tentera AS yang masih ditempatkan di negara itu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130113/lu_03/Obama-janji-cepat-serah-kawalan-di-Afghanistan#ixzz2HoJGmTPj
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment