Wednesday, January 16, 2013

PBB: Kemuka Syria ke mahkamah jenayah Antarabangsa



Pelarian Syria menaiki lori pikap untuk menyeberangi sempadan di Bab El-Hawa menuju ke Turki di pinggir bandar Idlib, kelmarin. - REUTERS
DAMSYIK 15 Jan. - Gesaan masyarakat antarabangsa supaya siasatan jenayah antarabangsa dijalankan berhubung konflik di Syria semakin meningkat, selepas pemerhati melaporkan sekurang-kurangnya 26 orang kanak-kanak maut dalam keganasan terbaharu, di seluruh negara ini, semalam.
Laporan tentang kematian kanak-kanak itu dibuat ketika Human Rights Watch (HRW) menuduh Presiden Bashar al-Assad memperluaskan penggunaan bom berangkai.
Sekurang-kurangnya 57 negara menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merujuk konflik Syria ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas siasatan jenayah perang.
Switzerland menghantar satu petisyen memohon tindakan daripada Majlis Keselamatan yang dianggotai 15 negara itu, satu-satunya badan yang boleh membawa kes tersebut ke ICC kerana Syria bukan negara anggota.
Majlis Keselamatan, bagaimanapun tidak sependapat berhubung konflik berdarah di Syria yang telah berlarutan selama 22 bulan.
Antara negara yang menandatangani petisyen itu ialah kebanyakan negara Eropah, selain Libya dan Tunisia.
Gesaan itu dibuat selepas lapan orang kanak-kanak dan lima wanita maut dalam serangan udara di bandar Moadamiyat al-Sham, selatan Damsyik, menurut Pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia.
Empat lagi kanak-kanak, termasuk dua adik-beradik terbunuh dalam serangan berasingan berhampiran ibu negara Syria, manakala 14 kanak-kanak lagi dilaporkan maut dalam keganasan di seluruh Syria, semalam.
Menurut PBB, lebih 3,500 kanak-kanak maut sejak konflik Syria tercetus pada Mac 2011. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130116/lu_03/PBB-Kemuka-Syria-ke-mahkamah-jenayah-Antarabangsa#ixzz2I9Uh3JuR
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment