Ramallah Pihak berkuasa Palestin semalam mengecam tindakan Israel di Masjid Al-Ibrahimi di Hebron, Tebing Barat.
Menteri Hal Ehwal Wakaf dan Islam Palestin, Mahmoud Al-Habbash berkata, rejim Zionis menghalang azan sebanyak 52 kali sejak Disember lalu dengan alasan mengganggu penduduk di penempatan Yahudi berhampiran.
Mahmoud juga berkata, tentera Israel yang mengawal pintu masuk masjid menjalankan pemeriksaan keselamatan yang ketat terhadap penduduk sebelum mereka dibenarkan masuk untuk bersolat.
Pada masa sama, katanya, tentera Zionis itu membenarkan penduduk Yahudi memasuki masjid itu secara bebas dengan alasan yang tidak kukuh.
“Penduduk Yahudi mencemarkan kesucian masjid dan sering mengejek umat Islam yang bersolat,” katanya.
Masjid Al-Ibrahimi adalah kawasan kedua paling suci di wilayah Palestin selepas Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis.
Masjid itu dibahagikan kepada bahagian Islam dan Yahudi oleh jawatankuasa khas rejim Israel selepas pembunuhan beramai-ramai pada 1994 yang dilakukan di masjid berkenaan oleh seorang Yahudi.
Dia melepaskan tembakan ke arah jemaah yang menunaikan solat subuh, menyebabkan 26 orang terbunuh dan cedera.
Mahmoud berkata, dasar Israel terhadap masjid itu adalah sebahagian daripada keganasan rejim itu di Tebing Barat dan bandar Arab di Israel. Sumber tempatan berkata, penduduk Palestin yang menetap berhampiran bahagian Yahudi masjid itu dipaksa mendengar muzik Ortodoks Yahudi setiap hari.
Sumber itu berkata, keadaan itu menyebabkan mereka tertekan dalam menjalani kehidupan seharian dan ada yang mengadu sudah menghadapi masalah pendengaran. - SG
No comments:
Post a Comment