Sunday, January 6, 2013

Israel bimbang intifada baru



Israel merancang meningkatkan penangkapan rakyat Palestin di Tebing Barat bagi menghalang pertelingkahan kecil dan kekacauan berubah menjadi intifada atau kebangkitan baru.

Satu sumber keselamatan rejim Zionis itu berkata: “Israel yakin intifada baru akan berlaku. Kerana itu keputusan diambil di kalangan pihak berkuasa keselamatan untuk meningkatkan kegiatan perisikan dan menangkap anggota Hamas atau aktivis yang menentang Israel. Ia sudah bermula dan akan berterusan.” Tentera Israel menyerbu Jenin di Tebing Barat baru-baru ini untuk memburu mereka yang disyaki pejuang Palestin hingga mencetuskan pertempuran dengan penduduk yang melontar mereka dengan batu dan bom api, kata sumber.


Ia kali kedua dalam masa seminggu tentera Zionis memasuki Jenin untuk menahan suspek.

Selasa lalu, tentera Israel yang menyamar penduduk Palestin menyerbu Kampung Tamoun, menangkap seorang anggota Jihad Islam. Puluhan penduduk Palestin cedera ekoran pertempuran yang berlaku selepas itu.


Khamis lalu, tentera Israel bertempur dengan 500 penduduk Palestin, memaksa mereka berundur dari Jenin. Seorang wanita tua Palestin cedera apabila dibaham anjing yang digunakan tentera Israel ketika operasi itu.


Sumber tentera Israel berkata, seorang warga Palestin ditangkap dalam serbuan terbaru itu meskipun dia bukan orang yang diburu.

Jenin berada di bawah penguasaan Pihak Berkuasa Palestin yang memerintah secara terhad Tebing Barat menerusi perjanjian damai sementara dengan Israel.


Rejim Zionis itu bagaimanapun mengekalkan hak untuk melakukan operasi terhadap pejuang di wilayah berkenaan.

No comments:

Post a Comment