|
TUNIS – Parti Islam yang mendominasi kerajaan campuran Tunisia semalam menolak inisiatif Perdana Menteri Hamadi Jebali untuk membentuk sebuah kerajaan teknokrat bagi menyelesaikan krisis politik di negara tersebut yang berpunca daripada pembunuhan seorang tokoh politik pembangkang.
Pengumuman tersebut yang dibuat oleh Parti Ennahda mencetuskan persoalan berhubung cara untuk menyelesaikan krisis dalaman terburuk di Tunisia sejak revolusi rakyat bagi menjatuhkan diktator Zine El Abidine Ben Ali berlaku pada Januari 2011.
Tunisia kini berdepan perpecahan bukan sahaja antara kerajaan dengan pembangkang tetapi turut melibatkan anggota-anggota Parti Ennahda.
Dalam kejadian pagi kelmarin, seorang pemimpin pembangkang, Shokri Belaid mati ditembak beberapa kali di dalam kereta di luar kediamannya oleh beberapa penyerang tidak dikenali.
Pembunuhan itu mencetuskan tunjuk perasaan di seluruh negara dengan gas pemedih mata terpaksa digunakan bagi menyuraikan mereka.
Susulan bantahan rakyat, Jebali mengumumkan lewat kelmarin bahawa beliau akan membubarkan kerajaan dan membentuk sebuah pemerintahan baharu yang dianggotai ahli-ahli teknokrat untuk mentadbir negara sehingga pilihan raya diadakan seperti yang dituntut oleh pembangkang.
Bagaimanapun, pada keesokan harinya, Timbalan Presiden Ennahda, Abdel-Hamid Jalasi berkata, partinya menolak cadangan Perdana Menteri berkenaan sekali gus menggugat masa depan Tunisia. – Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0208&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2KG7ICaHN
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment