Friday, March 1, 2013

Pertubuhan Islam desak bubar Densus 88



Jakarta: Pengerusi Pertubuhan pergerakan Muhammadiyah, Din Syamsuddin, semalam mendesak polis Indonesia membubarkan unit antipengganasnya, Detasement Khusus 88 atau Densus 88.

Din membuat desakan itu ketika mengunjungi Ketua Polis Indonesia, Timur Pradopo, di pejabatnya di Jakarta Selatan. Turut serta dalam pertemuan itu ialah wakil Nahdlatul Ulama, Majlis Ugama Islam Indonesia, Al-Irsyadh, Dewan dan Dewan Dakwah.


Menurut Din, Densus 88 bertindak keterlaluan dalam menangani suspek pengganas. Katanya, unit itu tidak memikirkan hal peri kemanusiaan dalam melaksanakan tugas mereka.

Pengerusi pertubuhan Islam kedua terbesar Indonesia itu berkata, semua pertubuhan Islam negara itu mahukan jabatan polis membubarkan unit berkenaan.


Untuk mengukuhkan desakannya, Din turut membawa video memaparkan keganasan anggota Densus 88 terhadap suspek pengganas. Video itu diserahkan kepada Timur untuk menimbangkan desakan itu.


“Dalam video itu ada menunjukkan tindakan melampau anggota Densus 88. Suspek diseksa dengan diikat, dipijak dan akhirnya ditembak mati.

“Sebelum mangsa ditembak mati, dia diminta beristighfar. Cuba bayangkan. Ajaran agama apa ini. Sudah disuruh bertaubat, kemudian dibunuh,” kata Din kepada wartawan selepas pertemuannya dengan Timur. - Republika

- See more at: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PertubuhanIslamdesakbubarDensus88/Article/index_html#sthash.IHLGcOrp.dpuf

No comments:

Post a Comment