Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata JAIS melakukan penahanan kerana wanita yang dikenali sebagai Ummu Jah itu melarikan diri ke Arab Saudi bagi mengelak ditahan pihak berkuasa agama di Selangor sebelum ini.
Jelas beliau, Ummu Jah dan pengikutnya dihantar pulang oleh kerajaan Arab Saudi selepas didapati tinggal lebih masa (melanggar Akta Imigresen Arab Saudi) dan cuba menyebarkan ajaran sesat di negara berkenaan.


Justeru, apabila Ummu Jah dan pengikutnya dihantar pulang, JAIS berhak menahannya mengikut Seksyen 12(c) Enakmen Jenayah Syariah Selangor atas kesalahan cuba menghidupkan semula ajaran al-Arqam yang difatwakan haram sejak 1994.

Beku aset, akaun bank

Kita juga akan meminta JAIS memohon perintah mahkamah syariah supaya semua aset dan akaun bank milik al-Arqam serta Global Ikhwan Sdn Bhd (Global Ikhwan) dibekukan bagi menyekat penyebaran ajaran sesat terbabit, katanya ketika mengulas penahanan Hatijah bersama 10 pengikutnya oleh JAIS untuk siasatan lanjut sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Isnin lalu.

Terdahulu, beliau mengetip kad perakam waktu sebagai tanda simbolik memulakan tugas di pejabatnya di Bangunan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), di sini, semalam.
Kaji pengharaman

Difahamkan, JAIS sedang mempertimbangkan sama ada Global Ikhwan perlu diharamkan seperti Syarikat Rufaqa Corporation Sdn Bhd (Rufaqa) sebelum ini kerana terbabit dalam kumpulan mengembangkan ajaran Aurad Muhammadiah dan menghidupkan semula al-Arqam.

Selasa lalu, BH melaporkan Hatijah, 52, ditahan bersama sembilan pengikutnya sejurus mendarat di KLIA, Sepang, pada jam 11.40 pagi Isnin lalu, selepas masing-masing tiba menerusi dua penerbangan berasingan dari Jeddah.

Pengarah JAIS, Datuk Marzuki Hussin, dipetik berkata Ummu Jah ditahan bersama tiga wanita dipercayai pengikutnya sebaik tiba di KLIA dan dibawa ke JAIS pada jam 12.30 tengah hari Isnin lalu, untuk siasatan lanjut.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 12C Enakmen Jenayah Syariah 1995 kerana melanggar arahan mufti dan jika sabit kesalahan, boleh dijatuhkan hukuman denda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.