Tawan hampir semua ibu negeri
Suasana ketika PRU13 di Sekolah Kebangsaan Bukit Bandaraya pada 5 Mei lalu. Orang ramai, termasuk warga emas, telah berkumpul sejak awal pagi lagi untuk membuang undi.
KEPUTUSAN PRU13 pada 5 Mei lalu menyaksikan persaingan sengit di antara BN dan PR. Sementara BN menguasai 133 kerusi Parlimen, lebih 44 daripada pembangkang, analisisyang dibuat Sinar Harian mengenai pecahan undi menunjukkan dari segi undi popular bagi kerusi Parlimen pula, PR mendapat lebih 300,000 undi.

Bersandarkan kepada analisis itu, PR didapati mendominasi semua kawasan ibu negeri, kecuali di Kangar dan Johor Bahru, yang dikuasai BN.

Antara kawasan ibu negeri yang dimenangi PR adalah Alor Setar, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Ipoh, Tanjong, Kuantan, Shah Alam, Seremban, Kota Melaka, Kota Kinabalu dan Kuching.

PR juga berjaya mengekalkan dominasi di Wilayah Persekutuan dengan memenangi sembilan daripada 13 kerusi yang dipertandingkan. BN menang di kawasan Parlimen Putrajaya, Labuan, Setiawangsa dan Titiwangsa.

Bagi kerusi Parlimen Selangor pula, PR berjaya mengekalkan dominasi kawasan bandar dan pinggir bandar, iaitu di Petaling Jaya, Serdang, Ampang, Puchong, Kelana Jaya, Gombak, Subang, Shah Alam, Kapar, Klang dan Kota Raja.

BN menang di kawasan luar bandar, iaitu Sabak Bernam, Sungai Besar, Tanjong Karang, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.

Negeri Sembilan turut mencatat kemenangan PR di kawasan bandar, iaitu di Seremban dan Rasah, manakala BN unggul di kawasan luar bandar seperti Jelebu, Jempol, Kuala Pilah, Rembau dan Tampin.

Secara keseluruhan, PR dilihat mempunyai sokongan yang kuat di kawasan bandar sehingga berjaya menang hampir kesemua ibu negeri, termasuk di Sabah dan Sarawak. Kekuatan ini dibantu oleh sokongan pengundi bukan Melayu kepada calon-calon PR, terutama bagi kerusi yang ditandingi DAP.

Bagaimanapun, BN masih didapati dominan di luar bandar, terutama di kawasan pendalaman, Felda dan pinggir bandar.

Antara faktor yang dilihat menyukarkan PR untuk menembusi kawasan luar bandar adalah halangan maklumat untuk sampai kepada pengundi, khususnya di kawasan yang tiada kemudahan internet.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah berpendapat, pengundi PRU13 terbahagi kepada dua, iaitu yang membawa harapan demokrasi dan harapan pembangunan.

"Keputusan PRU13 menyaksikan jika kawasan-kawasan yang majoriti penduduknya meletakkan harapan pembangunan itu lebih tinggi, di situlah BN menang.

"Walaupun BN memang pakar menjaga harapan pembangunan, namun ia masih perlu bekerja keras untuk menangani harapan demokrasi. Ini kerana, jika di situ majoriti pengundi lebih meletakkan harapan kepada demokrasi, BN akan kalah," katanya.