Terkejut isteri turun berat 100 paun
Larry Shaffer menerima kejutan melihat isterinya, Misty Shaffer yang ditinggalkan setahun dan anak mereka Nevaeh, 3.
NORTH CAROLINA - Seorang tentera Amerika Syarikat (AS) menerima kejutan terbaik dalam hidupnya apabila melihat tubuh isterinya berubah mendadak sebaik beliau melangkah turun dari pesawat selepas bertugas selama setahun di Afghanistan.

Pakar pesawat tentera, Larry Shaffer, 27,  berkata, beliau benar-benar tidak menyangka melihat isterinya yang dahulu yang mempunyai berat 250 paun telah menurun sehingga 100 paun sepanjang ketiadaan beliau.

Apabila pesawat yang dinaiki Shaffer mendarat di kampung halamannya di Wilmington, beliau telah disambut oleh hampir 50 rakan-rakan dan keluarga yang telah berkumpul untuk ketibaan beliau sambil memegang plakad dan menjerit "Surprise!"

Ketika dalam keriuhan itu, akhirnya isterinya Misty Shaffer bergegas datang menyambut tangannya.

“Saya kehilangan kata-kata. Saya menjangkakan hanya keluarga terdekat sahaja yang akan datang menyambut kepulangan saya dan begitu terkejut melihat orang ramai.

“Kemudian Misty muncul dan dia menjadi  “separuh” daripada insan yang saya kenali. Saya tidak boleh percaya," katanya.

Sementara itu, sepanjang suaminya berada di luar negara, Misty, 24, tidak pernah memberitahu suaminya yang beliau sedang menjaga berat badan dan ia kekal menjadi sebahagian besar rahsianya.

Misty sekadar memberitahu suaminya bahawa beliau telah cuba untuk menurunkan beberapa paun dan hanya menghantar gambar dirinya dari bahu ke atas supaya suaminya tidak akan mengesyaki transformasi yang dramatik.

"Terdapat beberapa kali saya begitu teringin untuk menghantar gambar-gambar comel saya tetapi saya hanya pendamkan sahaja kerana benar-benar mahu ia menjadi satu kejutan," ujar Misty, Rabu lalu.

Menurut Misty, beliau berjaya menurunkan berat badan dengan memakan bahagian yang lebih kecil, minum air yang banyak, tidak makan tiga hingga empat jam sebelum tidur dan mengelakkan diri dari menyentuh cip kentang.

Tambah Misty, sokongan suami tanpa syarat juga penting.

"Beliau tidak pernah meminta saya untuk mengurangkan berat badan dan sentiasa berkata beliau suka saya tidak kira bagaimana saya kelihatan," kata Misty.