MOSCOW - Percubaan pembocor maklumat program pengintipan rahsia Amerika Syarikat (AS), Edward Snowden untuk berlindung di luar AS menemui laluan sukar semalam.
Media tempatan melaporkan Snowden membatalkan permohonan suaka di Rusia manakala beberapa negara Eropah lain menyatakan permohonannya tidak akan dipertimbang kerana dibuat dari luar negara.
Presiden Rusia Vladimir Putin sebelum ini berkata, negaranya bersedia untuk memberi perlindungan kepada Snowden jika dia berhenti membocorkan maklumat rahsia AS.
Sehingga kini, Snowden gagal menepati syarat tersebut.
Namun, pada masa yang sama, Putin memberitahu beliau tiada rancangan untuk menyerahkan Snowden kepada AS.
Sementara itu, beberapa negara Eropah yang menerima permohonan suaka politik daripada Snowden termasuk Jerman, Norway, Austria, Poland, Finland dan Switzerland menyatakan, dia tidak boleh memohon suaka dari luar negara.
Snowden juga dilaporkan telah menghantar permohonan suaka kepada Bolivia, Brazil, China, Cuba, Ecuador, Perancis, Iceland, India, Itali, Ireland, Belanda, Nicaragua, Sepanyol dan Venezuela.
Bagaimanapun, pihak berkuasa Ecuador menyatakan mereka memerlukan masa hingga beberapa bulan untuk menimbang perkara tersebut.
Dia kini berlindung di zon transit Lapangan Terbang Antarabangsa Sheremetyevo, Moscow sejak beberapa hari lalu.
Snowden yang merupakan bekas kontraktor Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) dan juruteknik Agensi Perisikan Pusat (CIA) kini diburu pihak berkuasa AS berikutan tindakannya membocorkan rahsia negara kepada media.
Lelaki berusia 29 tahun itu mendedahkan bahawa NSA membina program pengintipan yang boleh mengintip maklumat seluruh warga AS.
Dia sebelum ini melarikan diri ke Hong Kong sekali gus meninggalkan kehidupan selesa di Hawaii, gaji AS$200,000 (RM618,700), seorang teman wanita, kerjaya yang stabil dan keluarga yang menyayanginya. - Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0703&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2XvgWd9t5
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment