Letupan bom di pangkalan Nato
Kesan serangan bom kereta berani mati di pangkalan Nato, semalam.
KABUL - AFGHANISTAN - Seramai enam orang disahkan terbunuh dalam satu serangan bom kereta berani mati yang menyasarkan kawasan pangkalan ketenteraan Nato di timur laut Kabul, Afghanistan, semalam.
Memetik laporan Al- Jazeera, menurut ketua polis wilayah, Mohammad Ayuob Salangi, letupan berkenaan meragut empat nyawa warga Nepal dan dua penduduk tempatan.
Susulan kejadian, pihak Taliban dilaporkan mengaku bertanggungjawab dan serangan berlaku selepas empat orang awam termasuk komander polis tempatan dibunuh membabitkan satu letupan bom di tepi jalan dalam daerah
Nahrir, utara Baghlan, kelmarin.
Sementara itu, awal April, Taliban mengumumkan operasi kebangkitan serangan menentang pasukan keselamatan Afghanistan dan Amerika Syarikat di seluruh negara.
Kumpulan militan itu mendedahkan, akan menggunakan apa jua taktik yang diperlukan khasnya penggunaan bom bagi menjatuhkan sasaran mereka.
Pada pertengahan Jun, seramai 11 orang termasuk enam polis tempatan dibunuh dalam serangan bom jalan raya di selatan Uruzgan serta perkampungan wilayah Laghman.