Saturday, August 31, 2013

MERDEKA MENURUT ISLAM



Ketika perang Qadisiah, Rabi' bin Amir telah pergi menghadap Rustum, panglima perang Parsi. Rustum bertanya kepada Rabi' tentang tujuan kedatangan pasukan Islam ke negaranya. Dengan lantang Rabi' menjawab:

"Kami datang untuk membebaskan manusia daripada penghambaan sesama manusia kepada penghambaan kepada Allah. Kami ingin membebaskan manusia dari dunia yang sempit menuju akhirat yang luas. Dan dari penzaliman kepada keadilan Islam"

Malangnya keadaan sebaliknya berlaku pada masa kini. Seruan panglima Rabi' bin Amir kepada tentera kafir itu "terkena batang hidung" umat Islam sendiri yang semakin alpa dengan kenikmatan dunia dan melupakan kenikmatan syurga.

Kita hakikatnya adalah "warganegara" akhirat, bukan dunia. Dunia diciptakan untuk manusia, manusia dicptakan untuk akhirat. Kehidupan di akhirat adalah kehidupan yang hakiki dan abadi. Di sana ada syurga dan neraka yang merupakan destinasi terakhir kembara setiap insan. Di situlah nanti manusia akan menemui keputusan muktamad, sama ada dalam nikmat yang berkekalan atau sebaliknya.

Ketika hidup di dunia, Allah telah banyak kali mengingatkan manusia agar tidak tertipu dengan kehidupan dunia yang sementara. Nikmat atau azab di dunia ini sangat kecil berbanding nikmat di syurga atau azab di neraka. Allah mengingatkan dalam ayat-Nya yang bermaksud: "Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itu adalah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui." (surah Al-'Ankabut:64)

No comments:

Post a Comment