Tuesday, August 13, 2013

Mesir mula ambil tindakan


Ribuan penyokong bekas Presiden Mohammed Mursi memegang potret beliau ketika berarak bagi menunjukkan sokongan mereka kepadanya di Kaherah, semalam. - AFP
KAHERAH 12 Ogos - Pasukan keselamatan Mesir dijangka mula mengambil tindakan ke atas penyokong bekas Presiden Mohammed Mursi, awal hari ini dengan menggempur khemah-khemah yang didirikan oleh kumpulan itu di ibu negara ini, kata sumber keselamatan.
Menurut Associated Press, pegawai polis akan mengepung kedudukan penyokong Mursi yang melakukan mogok duduk dalam tempoh 24 jam.
Kumpulan itu berkhemah di Rabaa al-Adawiya dan Dataran al-Nahda di sini, yang menyaksikan pertempuran antara pihak tentera yang menggulingkan Mursi pada bulan lalu dan penyokong bekas Presiden Mesir itu, yang mendesak jawatannya dikembalikan.
‘‘Pasukan keselamatan akan ditempatkan di sekitar kawasan penunjuk perasaan melancarkan mogok duduksejak Subuh hari ini sebagai permulaan kepada prosedur bagi menyuraikan mereka,’’ kata seorang sumber keselamatan kanan kepada Reuters.
Katanya, langkah pertama pihak keselamatan adalah dengan mengepung kawasan itu.
Seorang lagi sumber keselamatan berkata, keputusan untuk mengambil tindakan itu selepas sambutan Aidilfitri, dibuat selepas satu mesyuarat antara Menteri Dalam Negeri dan pembantunya.
Pihak berkuasa Mesir digesa oleh beberapa negara pengantara Barat dan Arab supaya tidak mengambil tindakan kekerasan bagi menyuraikan penunjuk perasaan yang dianggarkan berjumlah puluhan ribu.
Sementara itu, seorang pegawai keselamatan kanan memberitahu AFP bahawa proses menyuraikan penyokong Mursi akan dilakukan secara beransur-ansur dengan mereka akan diberikan ‘beberapa amaran’ sebelum polis bertindak.
‘‘Beberapa siri langkah akan diambil iaitu kami akan mengumumkan setiap pergerakan sepanjang ‘operasi’ itu,’’ kata sumber Kementerian Dalam Negeri.
Katanya, bila operasi itu bermula, penunjuk perasaan akan ‘dikepung’ dengan mereka tidak dibenarkan lagi duduk dan akan diberikan beberapa amaran supaya beredar.
‘‘Proses ini dijangka mengambil masa selama dua hingga tiga hari,’’ katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130813/lu_03/Mesir-mula-ambil-tindakan#ixzz2brbf0BMp
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment