Monday, September 2, 2013

38 maut di Nigeria angkara Boko Haram



SEORANG askar berdiri berhampiran sebuah rumah yang musnah terbakar berikutan pertempuan di antara militan Boko Haram dengan askar kerajaan di negeri Borno, Nigeria.


MAIDUGURI - Sekurang-kurangnya 38 maut dan 34 yang lain hilang dalam siri serangan oleh militan Islam, Boko Haram pada hujung minggu lalu di Nigeria, kata beberapa pegawai kelmarin.
Jurucakap kerajaan tempatan, Alhaji Garba Ali berkata, kumpulan lelaki bersenjata menembak mati 14 orang dalam satu serangan di sebuah kampung di negeri Borno.
Sementara itu, seorang lagi pegawai kerajaan tempatan menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 24 anggota rukun tetangga dibunuh dalam serangan berasingan di sebuah hutan di negeri sama.
Pegawai yang enggan namanya didedahkan itu berkata, penyerang memakai pakaian seragam tentera. Beberapa anggota rukun tetangga kemudian mengekori mereka kerana menyangka kumpulan itu tentera kerajaan.
"Penyerang membawa anggota rukun tetangga itu ke tengah hutan sebelum mereka dibunuh. Kira-kira 24 mayat ditemui manakala 34 yang lain masih hilang," katanya.
Tentera kerajaan sebelum ini mengesyorkan penubuhan kumpulan rukun tetangga bagi membantu pihak berkuasa menumpaskan anggota-anggota militan terbabit.
Lebih 3,600 nyawa melayang akibat keganasan pemberontak Boko Haram sejak tahun 2009.
Kumpulan tersebut didakwa berjuang bagi mewujudkan sebuah negara Islam di Nigeria yang merupakan pengeluar minyak terbesar dan memiliki jumlah penduduk paling ramai di rantau itu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0902&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2dgKdXGgj 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment