Zamboanga: Seorang ketua polis tempatan yang diculik anggota pemisah nasionalis Filipina dibebaskan semalam dan berjaya memujuk sebahagian daripada mereka menyerah diri.
Bagaimanapun, sebahagian besar anggota Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) itu terus menahan tebusan lain.
Krisis di selatan Filipina yang masuk hari ke-10 itu menjadi isu keselamatan paling buruk bagi Presiden Beningno Aquino sejak dia memegang kuasa pada 2010.
Krisis bermula 9 September lalu apabila anggota MNLF cuba menguasai Zamboanga, pelabuhan utama yang dihuni hampir sejuta orang. Mereka digagalkan oleh pasukan keselamatan negara itu tetapi masih berjaya menawan puluhan penduduk kampung di sepanjang pantai sebagai tebusan. MNLF berjuang untuk kebebasan umat Islam yang mendominasi wilayah selatan negara itu dan tidak gembira dengan rundingan damai yang berlangsung antara kerajaan dengan pesaingnya, Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang menuntut agar wilayah itu diberikan kuasa autonomi.
Pergeseran tidak dijangka berlaku semalam apabila ketua polis Jose Chiquito Malayo dan tiga anggotanya diacukan senjata ketika cuba memujuk sekumpulan kecil 20 anggota pemisah agar menyerah diri dekat Zamboanga.
Setiausaha Dalam Negeri Mar Roxas berkata walaupun Malayo ditahan dia tetap cuba meyakinkan pemberontak sehingga berjaya. Kumpulan itu berkata, mereka datang dari pulau berhampiran untuk bantahan secara aman tetapi berundur selepas insiden berbalas tembakan tercetus antara tentera kerajaan dan ketua mereka, kata Roxas.
Sementara itu, jurucakap tentera Ramon Zagala berkata, perkara penting ialah Malayo mampu memujuk mereka untuk menyerah diri.
Menurutnya, tentera sudah menawan semula 70 peratus daripada kawasan tepi pantai yang dikuasai kumpulan pemisah. - AP
No comments:
Post a Comment