Monday, September 16, 2013

Tentera bunuh 51 gerila MNLF


MAYAT seorang gerila MNLF diletakkan ke dalam sebuah trak tentera di Bandar Raya Zamboanga, selatan Filipina semalam.


ZAMBOANGA - Tentera Filipina membunuh atau menangkap hampir 100 gerila Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) yang menahan sejumlah tebusan selama seminggu di bandar ini.
Pihak berkuasa menyatakan, perkembangan itu berlaku ketika tentera kerajaan meneruskan operasi untuk menawan semula beberapa penempatan yang dikuasai pemberontak di sepanjang kawasan pantai dekat selatan Filipina.
Jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Ramon Zagala berkata, masih terdapat lebih 100 gerila MNLF di beberapa kawasan di pinggir bandar raya ini.
"Mereka menjadikan orang awam sebagai tebusan," katanya.
"Namun, kami semakin berjaya dan meneruskan kemaraan," tambah Zagala.
Sejumlah tebusan telah melarikan diri atau dibebaskan tetapi bilangan keseluruhan mereka yang ditawan MNLF masih tidak dapat dipastikan.
Datuk Bandar Zamboanga, Isabelle Climaco-Salazar pula memberitahu, pemberontak MNLF masih menawan kira-kira 40 tebusan di sebuah kawasan dekat sini.
Dalam perkembangan berkaitan, sekurang-kurangnya 51 pemberontak telah dibunuh manakala 42 lagi ditangkap ketika cuba melarikan diri melalui kawasan pantai.
"Mereka membuang pakaian seragam dan memakai pakaian orang awam," kata Setiausaha Dalam Negeri, Mar Roxas.
Menurutnya, tentera Filipina turut menemui dua mayat gerila MNLF yang terdiri daripada seorang lelaki dan wanita semalam.
Sebanyak enam anggota polis dan tentera bersama empat penduduk kampung terbunuh dalam konfrontasi itu yang bermula Isnin lalu apabila pemberontak cuba menaikkan bendera MNLF di bangunan Dewan Bandar Raya Zamboanga di sini.
"Walaupun tentera mendapat momentum, kami masih belum pasti bila konfrontasi ini akan berakhir," kata Roxas.
Menurutnya, lebih 67,000 penduduk telah melarikan diri sejak MNLF melancarkan serangan ke atas bandar raya ini pada minggu lalu.
Kumpulan MNLF semakin terdesak sejak beberapa bulan lalu apabila mereka dipinggirkan oleh kerajaan Filipina.
Manila sebaliknya memilih untuk berunding dengan seteru MNLF, Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dalam rundingan damai yang ditaja oleh Malaysia.
Rundingan dengan MILF diadakan bagi menamatkan penentangan orang Islam sejak beberapa dekad lalu yang meragut sebanyak 150,000 nyawa di selatan negara itu. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0916&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2f0dT05kd 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment