Friday, October 4, 2013

5 NGO gesa tindakan tegas individu hina PM di Facebook

KUALA LUMPUR 4 Okt. - Lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini menuntut pihak polis menyiasat seornag individu yang telah menghina Perdana Menteri dan Jalur Gemilang menerusi laman sosial itu Facebook baru-baru ini.
Pertubuhan itu ialah Martabat Jalinan Muhibah Malaysia (MJMM), Majlis Persahabatan Ayahanda Malaysia, Pertubuhan Gerakan Bersatu 69, Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIM) dan Gerakan Memartabat Pejuang Negara (GMPN).
Menurut Presiden MJMM, Abdul Rani Kulup Abdullah, perbuatan individu berkenaan mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab dan sewajarnya diambil tindakan tegas oleh pihak terlibat seperti polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
"Individu sebegini seolah-olah tidak mahu menerima keputusan majoriti rakyat negara sehingga sanggup melakukan penghinaan sebegitu untuk meraih perhatian ramai lagi pihak.
"Oleh itu, kami sebagai NGO yang prihatin dan sentiasa memberi sokongan kepada pucuk pimpinan negara, mengesa polis membuka kertas siasatan dan membawa individu ini ke muka pengadilan," katanya selepas selesai membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah, dekat Ampang, di sini.
Baru-baru ini, seorang pengguna Facebook telah memuat naik bahan yang dianggap menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bendera Jalur Gemilang dengan teknik pertindihan gambar.
Mengulas lanjut, NGO terbabit turut menuntut, individu yang bertanggungjawab dilucutkan taraf warganegara Malaysia kerana perbuatannya yang melampaui batas.
"Orang sebegini adalah mereka yang tidak menghargai kenikmatan yang dikecapi seluruh masyarakat. Kami harap kerajaan melucutkan kerakyatan dia agar perbuatan sebegitu tidak lagi berleluasa di mana-mana laman sosial," kata Abdul Rani. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131004/je_12/5-NGO-gesa-tindakan-tegas-individu-hina-PM-di-Facebook#ixzz2goFcIaXI
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment