Tuesday, October 22, 2013

Amnesty kecam rekod hak asasi Arab Saudi


DUBAI 21 Okt. - Amnesty International mendedahkan bahawa Arab Saudi gagal melaksanakan cadangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung hak asasi manusia, sebaliknya 'meningkatkan penindasan' sejak 2009, dengan penahanan tanpa sebab dan menyeksa aktivis.
Pengarah Program Asia Barat dan Afrika Utara (MENA) pertubuhan itu, Philip Luther berkata, jaminan Arab Saudi yang diberikan kepada PBB hanyalah janji kosong.
Beliau menuduh Riyadh menggunakan pengaruh politik dan ekonomi untuk menghalang masyarakat antarabangsa mengkritik rekod hak asasi manusianya yang semakin buruk.
Badan pemantau yang berpangkalan di London itu mendedahkan perkara tersebut sebelum persidangan Majlis Hak Asasi Manusia PBB, hari ini bagi membincangkan rekod Arab Saudi dan selepas Riyadh menolak kerusi Majlis Keselamatan PBB kerana mendakwa badan keselamatan dunia itu gagal menyelesaikan konflik serantau.
Dalam laporan bertajuk 'Arab Saudi: Janji tidak ditepati', pertubuhan itu mengkritik tindakan kekerasan berterusan negara itu termasuk penahanan tanpa sebab serta perbicaraan tidak adil, selain penyeksaan serta layanan buruk sejak empat tahun lalu di negara itu.
"Bukan sahaja pihak berkuasa gagal mengambil tindakan, tetapi mereka menambah penindasan tersebut sejak 2009.
"Semua aktivis yang ditahan tanpa sebab, diseksa atau dipenjara di Arab Saudi,... masyarakat antarabangsa berhak menuduh pihak berkuasa bertanggungjawab di atas perkara itu,'' katanya.
Amnesty International turut mengulangi desakan supaya pihak berkuasa Arab Saudi membebaskan dua aktivis terkemuka, Mohammed al-Gahtani dan Abdullah al-Hamed yang dikenakan hukuman penjara pada Mac lalu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131022/lu_10/Amnesty-kecam-rekod-hak-asasi-Arab-Saudi#ixzz2iQUQXpO8
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment