Thursday, October 31, 2013

AS pula dakwa Eropah intip


Jeneral Keith Alexander (dua dari kiri) dan James Clapper (dua dari kanan) memberi keterangan pada Jawatankuasa Dewan Perisikan di Washington pada 29 Oktober lalu. - REUTERS
WASHINGTON 30 Okt. - Selepas dituduh melakukan pengintipan ke atas pemimpin-pemimpin Eropah, ketua-ketua perisikan Amerika Syarikat (AS), pula menuduh agensi-agensi perisikan negara-negara dari benua itu melakukan perbuatan serupa dan berkongsi maklumat risikan sesama mereka.
Ketua-ketua perisikan terbabit turut menangkis dakwaan bahawa agensi perisikan AS mengumpul data ke atas berjuta-juta panggilan telefon dengan mendakwanya sebagai 'semuanya palsu' dan menyatakan akhbar-akhbar Eropah membuat dakwaan itu kerana tidak memahami data yang mereka terima.
Ketua Agensi Keselamatan Nasional (NSA), Jeneral Keith Alexander dan Pengarah Perisikan Nasional, James Clapper berkata demikian ketika memberikan keterangan kepada Kongres.
Mereka berkata, laporan akhbar berkenaan dibuat berdasarkan salah faham terhadap maklumat yang diberikan oleh bekas kontraktor keselamatan AS, Edward Snowden kepada akhbar-akhbar Eropah.
''Kenyataan oleh wartawan Perancis, Sepanyol dan Itali bahawa NSA mengumpul berpuluh juta panggilan telefon adalah salah. Ia bukan maklumat yang dikumpul daripada rakyat Eropah,'' kata Alexander kepada Jawatankuasa Perisikan Dewan Perwakilan.
Alexander berkata, wartawan salah mentafsir data yang dibocorkan berhubung operasi risikan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Perisikan Dewan Senat, Dianne Feinstein turut mendakwa media Eropah tersalah lapor dakwaan tersebut.
''Ia bukan maklumat yang dikumpul oleh AS berhubung Perancis dan Jerman. Ia dilakukan oleh Perancis dan Jerman. Ia tidak ada kena-mengena dengan rakyat mereka tetapi tentang kawasan perang NATO seperti Afghanistan,'' katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131031/lu_02/AS-pula-dakwa-Eropah-intip#ixzz2jF1g063x
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment