Sunday, October 13, 2013

AS tahan komander kanan Taliban

Washington: Tentera Amerika Syarikat, semalam mengesahkan menahan komander kanan Taliban Latif Mehsud dalam satu operasi ketenteraan.
Latif kini ditahan di bawah undang-undang yang membolehkan penggunaan kekerasan terhadap al-Qaeda berikutan serangan ke atas Amerika pada 11 September 2001.

Penangkapan Latif, penolong kepada pemimpin kumpulan Tehreke-e-Taliban (TTP) Hakimullah Mehsud memberi tamparan kepada kumpulan itu yang berusaha menggulingkan kerajaan Pakistan yang disokong Amerika Syarikat.
Kumpulan berkenaan juga menyasarkan tentera Amerika di Afghanistan di samping bercita-cita untuk melancarkan serangan ke atas Amerika Syarikat.

Seorang jurucakap Pentagon berkata, Mehsud ditangkap dalam operasi tentera Amerika di Afghanistan.

Bagaimanapun, Washington Post melaporkan, dia ditawan dari konvoi kerajaan Afghanistan di wilayah Logar beberapa minggu lalu ketika pegawai Afghansitan cuba berbaik-baik dengannya untuk memulakan rundingan damai.
Menurut akhbar itu, kejadian berkenaan disifatkan mencabuli kedaulatan Afghanistan serta mencetuskan kemarahan Presiden Hamid Karzai dan menjejaskan hubungan Washington-Kabul.

Pegawai Pentagon enggan mengulas laporan itu.
TTP atau juga dikenali Taliban Pakistan dipercayai melatih rakyat Amerika keturunan Pakistan Faisal Shahzad mengenai teknik membuat bom serta membiayai rancangannya untuk meletupkan sebuah bom kereta di Dataran New York Times pada 2010.

Bom kereta itu bagaimanapun gagal meletup.

No comments:

Post a Comment