Saturday, October 12, 2013

Penganjur Ratu Universe mohon maaf

Penganjur Ratu Universe mohon maaf
Olivia Culpo


 New Delhi: Penganjur Ratu Universe, mengemukakan permohonan maaf kepada India berikutan sesi penggambaran pemenang Ratu Universe 2013, Olivia Culpo, di Taj Mahal yang menjadi kes polis dan dakwaan bahawa beliau tidak menghormati makam diraja itu.

Culpo, 21, dari Rhode Island, Amerika Syarikat, melawat makam berkenaan Ahad lalu sempena kunjungannya selama 10 hari ke India.
Ketika berada di Taj Mahal, beliau menjalani sesi penggambaran dengan memakai kasut berjenama dan duduk di atas tebing marmar dikenali Diana Seat, sempena nama mendiang Putera Diana yang melawat makam berkenaan pada 1992.


Polis yang menerima aduan daripada pentadbir Taj Mahal memfailkan kes ke atas beliau, kerana sebarang bentuk kerja iklan atau promosi di lokasi terbabit adalah diharamkan.


Penganjur mohon maaf

“Pihak penganjur dengan ini memohon maaf kepada rakyat India berikutan insiden membabitkan Ratu Universe,” kata satu kenyataan yang dihantar ke pejabat AFP semalam.
Kenyataan itu menyebut, Culpo sedang membuat penggambaran video untuk peminat ketika insiden berlaku.

“Sebagai sebahagian daripada rakaman, kami kadangkala memasukkan penaja di dalam penggambaran ini,” kata kenyataan itu lagi yang menambah bahawa rakaman itu bukan untuk tujuan komersial.

“Kami dengan rendah hati memohon maaf di atas sebarang perkara sensitif yang tidak di sengaja, sehingga mencetuskan rasa kurang senang sesetengah pihak,” kata kenyataan itu lagi.

Pereka fesyen Sanjana Jon, yang mengiringi Culpo juga dikenakan dakwaan melanggar Akta Lokasi Arkeologi dan Monumen Purba. Culpo dan Jon mungkin didenda jika sabit kesalahan.

Taj Mahal yang menerima kunjungan berjuta-juta pelawat setiap tahun, dibina Maharaja Shah Jehan menempatkan makam beliau dan permaisurinya Mumtaz Mahal yang meninggal dunia ketika melahirkan anak pada 1631.

Pelawat dikehendaki membuka kasut ketika berada di kawasan makam, tetapi dibenarkan memakainya di kawasan sekitar bangunan dan taman di situ.

AFP

No comments:

Post a Comment