Saturday, October 26, 2013

Tak peduli larangan

Riyadh: Aktivis wanita Arab Saudi yang mempelopori kempen wanita memandu kereta hari ini mengingkari arahan keras Kementerian Dalam Negeri apabila memandu kereta bersama bapanya dari lapangan terbang ke kediamannya.
Menurut sumber, Lujein Al Hadoul mempamerkan keingkarannya itu dengan rakaman video yang dimuat naik dirangkaian sosial menunjukkan dia memandu di jalan raya di Riyadh sejurus tiba dari Amerika Syarikat, tempat dia belajar dengan biasiswa kerajaan. 
Lujein memandu kereta bapanya sementara lelaki terbabit duduk di sebelahnya bagi menunjukkan sokongannya terhadap kempen menamatkan larangan wanita memandu di negara berkenaan.

Lujein dilihat tersenyum penuh yakin ketika memandu pulang ke rumah hanya beberapa jam selepas Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan amaran keras tidak akan membenarkan wanita memandu hari ini.

“Lujein baru tiba di Riyadh dan dia memandu pulang ke rumah dengan gembira hari ini (semalam). Insha Allah kami akan melihat foto dia memandu ini selepas 10 tahun dan akan mentertawakannya,” kata bapa wanita berkenaan.

Lujein muncul di laman sosial Twitter bulan lalu menyeru kaum wanita Saudi memandu di jalan raya pada hari ini dalam kempen terbesar kedua sepanjang dua tahun yang dilancarkan wanita di negara konservatif terbabit bagi mendesak kerajaan memansuhkan larangan berkenaan.

Lebih 100 ulama daripada 29 juta populasi di Arab Saudi mengeluarkan kenyataan Rabu lalu menolak sebarang keputusan kerajaan bagi membenarkan wanita memandu kereta.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan sejurus sebelum Kementerian Dalam Negeri mengarah wanita agar tidak menghiraukan seruan Lujein dan memberi amaran yang mereka akan ditahan jika berdegil. - Agensi

No comments:

Post a Comment