Wednesday, October 9, 2013

Usaha Senat pulihkan AS



Seorang pegawai polis berdiri di tengah-tengah lobi bangunan Capitol di Washington, kelmarin. Dewan Senat dikuasai Parti Demokrat merancang untuk meningkatkan hutang siling kerajaan, ketika negara ini semakin hampir terjerumus ke dalam bencana hutang. - REUTERS
WASHINGTON 8 Okt. - Dewan Senat Amerika Syarikat (AS) yang dikuasai oleh Parti Demokrat semalam merancang untuk memperkenalkan langkah satu pihak bagi meningkatkan hutang siling kerajaan, ketika negara ini semakin hampir terjerumus ke dalam bencana hutang.
Pakar ekonomi berkata, kegagalan AS untuk membayar hutang buat pertama kalinya akan mencetuskan krisis kewangan dan kemelesetan ekonomi seperti tahun 2008 atau lebih teruk lagi.
Jurucakap Dewan Senat berkata, Pemimpin Majoriti Senat, Harry Reid mungkin mendedahkan langkah itu seawal-awalnya hari ini dan menetapkan tarikh undian pada hujung minggu ini.
Langkah itu dijangka akan membenarkan hutang siling dinaikkan sebanyak AS$1 trilion (RM3.1 trilion) kepada AS$17.7 trilion (RM56.6 trilion) berbanding AS$16.7 trilion (RM53.3 trilion) yang perlu diputuskan sebelum 17 Oktober ini.
Kelulusan langkah itu tidak melibatkan Dewan Perwakilan yang dikuasai oleh Parti Republikan yang sebelum ini menolak untuk meluluskan satu bajet persekutuan khas ekoran perbalahan berhubung rang undang-undang penjagaan kesihatan sehingga menyebabkan kerajaan AS lumpuh.
Bagaimanapun, masih tidak jelas sama ada usaha Reid itu akan berhasil kerana Parti Republikan dijangka akan menentangnya jika tidak melibatkan pemotongan bajet untuk mengurangkan defisit persekutuan.
Persoalannya kini ialah sama ada anggota Parti Republikan di Senat akan menggunakan pendekatan perundangan yang dikenali sebagai penghalang untuk menyekat undian akhir kepada langkah tersebut.
Sementara itu di White House, hanya 450 daripada 1,701 kakitangan kini masih bertugas selepas kira-kira tiga perempat pekerja terpaksa diberikan cuti tanpa gaji selepas AS dilanda krisis bajet, menurut pejabat bajet Presiden.
Di satu pintu masuk ke West Wing, satu tembok yang biasanya memaparkan keratan harian akhbar, tidak lagi dikemaskini sejak seminggu lalu.
Sebanyak 90 kakitangan yang biasanya bertugas di kediaman Presiden pula dikurangkan kepada hanya 15 orang. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131009/lu_03/Usaha-Senat-pulihkan-AS#ixzz2hBjUOEuX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment