Monday, November 4, 2013

AS, Australia didakwa intip Indonesia


SYDNEY 3 Nov. - Australia dan Amerika Syarikat (AS) didakwa melakukan operasi pengintipan bersama terhadap Indonesia semasa persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung perubahan cuaca di Bali pada 2007, yang akan merenggangkan hubungan dengan Jakarta.
Akhbar Guardian edisi Australia, hari ini memetik satu dokumen daripada bekas kontraktor keselamatan, Edward Snowden menunjukkan agensi perisikan Australia, Defence Signals Directorate bekerjasama dengan Agensi Keselamatan Nasional (NSA) AS untuk mengumpul nombor telefon pegawai keselamatan Indonesia.
Guardian melaporkan operasi tersebut, bagaimanapun tidak berjaya selepas hanya nombor telefon ketua polis Bali ketika itu yang diperolehi.
Menurut satu kenyataan misi tersebut, termasuk laporan mingguan pada 2008 dari pangkalan NSA di Pine Gap, Australia, tujuan usaha tersebut adalah untuk memperolehi pemahaman jaringan struktur bagi membolehkan pengumpulan maklumat dilakukan ketika kecemasan.
Kesimpulan yang dibuat oleh NSA pada akhir operasi tersebut ialah, ''Kejayaan paling menyerlah adalah nombor telefon ketua polis Bali.
''Usaha di lapangan mendedahkan bahawa jaringan komunikasi Indonesia sebelum ini tidak diketahui dan menyebabkan kami meningkatkan pengumpulan maklumat jika berlaku satu krisis,'' lapor Guardian.
Pendedahan tersebut mungkin memburukkan lagi keadaan, selepas laporan pada minggu lepas mendedahkan Kedutaan Australia di Jakarta terbabit dalam program pengintipan global AS yang menyebabkan hubungan antara Indonesia dengan Canberra dan Washington tegang.
Walaupun operasi itu tidak berjaya, namun ia masih memalukan Australia.
Ketika itu, Kevin Rudd baru dilantik sebagai Perdana Menteri dan menghadiri persidangan tersebut atas jemputan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono.
Kedua-dua pemimpin itu kemudian bersetuju bekerjasama bagi merapatkan hubungan antara kedua-dua negara. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131104/lu_05/AS-Australia-didakwa-intip-Indonesia#ixzz2jcPhrJMq
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment