JAKARTA - Pemimpin Indonesia dan Australia bertikam lidah semalam mengenai dakwaan pengintipan yang dilakukan oleh Canberra yang menyebabkan ketegangan antara kedua-dua negara kian meningkat.
Presiden Susilo Bambang Yudhoyono menggunakan laman Twitter untuk menyelar Perdana Menteri Australia, Tony Abbott kerana mengabaikan aduan Indonesia.
Kecaman Susilo dibuat selepas Indonesia bertindak memanggil pulang dutanya di Australia, Nadjib Riphat Kesoema kelmarin.
Abbot yang mentadbir negara sejak September lalu pula enggan memberi penjelasan berhubung isu tersebut.
Beliau sebaliknya menyifatkan perbuatan mengintip oleh kerajaan Australia sebagai 'operasi perisikan yang munasabah'.
Pertelingkahan terbaharu itu menyusul selepas media Australia menyiarkan maklumat dokumen sulit yang dibocorkan oleh bekas kontraktor Agensi Keselamatan Kebangsaan, Edward Snowden.
Menurut laporan itu, agensi perisikan Australia cuba mengintip perbualan telefon bimbit Susilo, isterinya dan beberapa pegawai kanan lain.
"Saya kesal Perdana Menteri Australia memandang ringan isu ini tanpa sebarang rasa bersalah," kata Susilo di akaun Twitternya.
Indonesia, kata Susilo, menuntut penjelasan rasmi yang boleh diterima oleh rakyat negara berkenaan.
Namun, permintaan tersebut ditolak bulat-bulat oleh Abbott.
"Saya tidak boleh menerima bahawa Australia perlu memohon maaf untuk operasi mengumpul maklumat risikan yang munasabah," katanya kepada Parlimen.
Australia dan Indonesia mempunyai sejarah hubungan yang panjang dan tidak terlepas daripada pergolakan.
Pada tahun 2009, seorang pegawai Indonesia mengakui tentera negara berkenaan membunuh lima wartawan asing termasuk dua warga Australia.
Perbuatan itu untuk menutup pencerobohan awal Indonesia ke atas Timor Timur.
Jakarta pernah memanggil pulang dutanya di Canberra pada tahun 2006 kerana membantah keputusan memberikan visa sementara kepada 42 pencari suaka dari Papua Barat. - Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1120&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2l8EENWZh
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment