Monday, December 16, 2013

Qatada nafi tuduhan ganas


Amman: Seorang pendakwah radikal yang mempunyai kaitan dengan al-Qaeda dan dihantar pulang dari Britain mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan keganasan dikenakan ke atasnya pada permulaan perbicaraan semalam.

Abu Qatada, 53, dituduh merancang serangan terhadap rakyat Israel, Amerika dan warga Barat lain di Jordan dalam dua percubaan yang digagalkan pada 1999 dan 2000.

Dalam kedua-dua kes, Abu Qatada yang berada di luar negara ketika itu, disabitkan sewaktu ketiadaannya dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup.


Namun, ketika penghantaran pulang ke tanah air pada Julai, hukuman itu digantung dan dia perlu dibicarakan semula mengikut undang-undang Jordan.

Abu Qatada yang nama sebenarnya Omar Mahmoud Mohammed Othman disifatkan oleh mahkamah Britain dan Sepanyol sebagai tokoh kanan al-Qaeda di Eropah yang mempunyai hubungan rapat dengan Osama bin Laden.


Britain menuduhnya mempunyai kaitan dengan Zacarias Moussaoui, satu-satunya individu yang didakwa di Amerika Syarikat terhadap serangan pengganas pada 11 September 2001, di samping pengebom kasut Richard Reid.


Rakaman audio beberapa dakwah ulama itu yang ditemui di apartmennya di Hamburg, Jerman digunakan oleh beberapa penyerang 11 September.

Abu Qatada tiba di Britain menggunakan pasport palsu pada 1993 selepas melarikan diri dari buruan kerajaan Jordan.

Dia diberikan suaka politik di Britain setahun kemudian, tetapi akhirnya mensia-siakan suaka itu kerana disyaki terbabit dengan aktiviti militan, termasuk mengutip dana bagi membiayai rancangan keganasan di Jordan.- AP

No comments:

Post a Comment